142 DIPINDAHKAN AKIBAT BANJIR DI ROMPIN

142 DIPINDAHKAN AKIBAT BANJIR DI ROMPIN

Oleh: Shahrinnahar Latib

ROMPIN 14 DISEMBER, 2019: Rompin menjadi daerah pertama di negeri ini dilanda banjir sehingga menyebabkan seramai 142 mangsa daripada 35 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Encik Zainal Yusoff berkata, susulan itu satu PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pianggu.

Menurutnya, kesemua mangsa adalah dari Kampung Setajam, Kampung Teluk Gading, Tanjung Gemok, Kampung Janglau, Kampung Pianggu dan Kampung Kurnia.

“Kejadian banjir ini berlaku kira-kira jam 12 tengah hari tadi berikutan hujan lebat bermula petang semalam sehingga hari ini.

“Pihak Jawatankuasa Bencana Daerah telah memberi bantuan memindahkan mangsa banjir ke PPS dengan kerjasama APM, Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pihak JKM dan APM juga telah memberi bantuan bekalan makanan basah, selimut, bantal dan keperluan lain yang turut dibantu oleh pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Foto Ihsan APM
Suasana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pianggu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, kawalan keselamatan dan kebersihan juga telah dilaksanakan di PPS yang dibuka bagi menjamin keselamatan serta keselesaan mangsa banjir.

“Pihak berkuasa juga akan memantau keadaan semasa berikutan hujan berterusan dan meminta orang ramai mengikuti nasihat diberikan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu Jalan Endau ke Mersing juga dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan sejak tengahari tadi.

Sumber: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment