5,500 Pokok Sawit Ditanam Secara Haram Dimusnahkan

5,500 Pokok Sawit Ditanam Secara Haram Dimusnahkan

BERITA | Kuantan, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam operasi Cantas telah memusnahkan lebih 5,500 pokok sawit yang ditanam secara haram di atas tanah seluas 97 hektar di Hutan Simpan Lesong, Rompin, hari ini.

Menurut Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, kerja memusnahkan pokok sawit dilakukan kerana menceroboh kawasan hutan simpan kekal dan tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan aktiviti pencerobohan hutan simpan kekal tidak terus berlaku.

“Kita tidak mahu perkara ini (pencerobohan hutan) terus berulang sehingga mengundang kemusnahan khazanah hutan di negeri ini. Malah situasi terbabit akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

“Jadi kita segera bertindak dan tidak berkompromi terhadap kesalahan itu.

Kita juga telah menggunakan dua jentolak serta jengkaut bagi memusnahkan tanaman sawit yang dianggarkan berumur antara tiga hingga lima tahun,” tegas beliau.

Jelas beliau lagi, JPNP sudah beberapa kali mengeluarkan notis menghalang kegiatan pertanian itu, namun ia tidak dipedulikan pihak terbabit. Sehinggakan papan merah notis amaran diletakkan dalam kawasan ladang terbabit selepas usaha mengesan pengusaha projek terbabit gagal dilakukan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan hingga memaksa operasi cantas dilakukan secara bersepadu dengan dua agensi penguat kuasa.

“Saya berharap operasi cantas yang dilakukan hari ini dapat memberi kesedaran dan ingatan kepada pihak lain supaya tidak cuba memasuki serta menceroboh hutan simpan kekal yang ada di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hizamri berkata, jika segelintir pihak yang masih berbuat demikian tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 dan Kanun Tanah Negara 1965 boleh dikenakan terhadap mereka.

Beliau menegaskan selain aktiviti pertanian, hutan simpan kekal yang akan dijadikan lokasi kegiatan perlombongan haram dan memindahkan balak tanpa lesen turut dikenakan tindakan undang-undang.

“Jadi saya minta pihak berkaitan mengambil perhatian mengenai amaran ini,” katanya.

Operasi cantas ini dilakukan oleh bahagian penguatkuasaan dengan 80 kakitangan daripada JPNP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Rompin dan Pejabat Daerah Dan Tanah Rompin.

Sumber :Sinar Harian

 

Leave a comment