8,571.36 HEKTAR TANAH DIWARTAKAN SEBAGAI REZAB ORANG ASLI

8,571.36 HEKTAR TANAH DIWARTAKAN SEBAGAI REZAB ORANG ASLI

KUANTAN 20 NOVEMBER 2019 : Kerajaan Negeri dalam proses untuk mewartakan tanah seluas 8,571.36 hektar untuk dijadikan Tanah Rezab Orang Asli di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, YB. Dato’ Abd. Aziz Haji Mat Kiram berkata, pihak berkuasa negeri kini sedang meneliti cadangan pewartaan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965.

“Bagi pewartaan Tanah Rezab Orang Asli pula, 7,156.53 hektar telah diwartakan manakala 8,571.36 hektar lagi dalam proses pewartaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Puan Kamache A. Doray Rajoo pada pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Puan Kamache sebelum itu memohon jawapan mengenai peranan kerajaan negeri dalam pembangunan masyarakat Orang Asli melibatkan sumbangan Kerajaan Negeri kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan projek yang dirancang bagi menangani isu rumah yang terhad bagi Orang Asli yang masih tidak mempunyai rumah.

YB. Abd. Aziz berkata, kerajaan negeri telah menubuhkan Unit Hal Ehwal Orang Asli di bawah Pejabat YAB. Menteri Besar pada 1 April lepas bagi menjaga kepentingan dan isu-isu berkaitan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Selain itu, katanya, Mesyuarat Penyelarasan Perancangan Pembangunan Orang Asli Negeri Pahang pada 18 Jun lepas telah mengambil keputusan mengenai beberapa perkara berkaitan Orang Asli.

“Antaranya bersetuju agar Unit Orang Asli Pejabat YAB. Menteri Besar akan mempengerusikan mana-mana mesyuarat berkaitan Orang Asli bagi mewujudkan keselarasan. Pejabat YAB. Menteri Besar perlu mewujudkan satu pelan strategik khusus untuk perancangan pembangunan Orang Asli mengikut daerah dan cadangan projek ekonomi mampan diperhalusi untuk pelaksanaan di seluruh Pahang,” katanya.

oleh: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment