AGENDA MEMELIHARA, MEMULIHARA KELESTARIAN ALAM DAN KEPELBAGAIAN BIODIVERSITI DI PAHANG JADI KEUTAMAAN KERAJAAN NEGERI

AGENDA MEMELIHARA, MEMULIHARA KELESTARIAN ALAM DAN KEPELBAGAIAN BIODIVERSITI DI PAHANG JADI KEUTAMAAN KERAJAAN NEGERI

Kerajaan Negeri Pahang komited dan konsisten dalam memelihara dan memulihara kelestarian alam dan kepelbagaian biodiversiti di negeri ini.

 

YAB Menteri Besar Pahang Dato’Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, komitmen dan pendirian Kerajaan Negeri ini beliau tegaskan ketika mempengerusi Mesyuarat Majlis Biodiversiti Pahang dan Mesyuarat Perbadanan Taman Negeri Pahang yang diadakan untuk kali yang pertama, pagi ini.

 

Beliau berkata, kedua-dua mesyuarat itu diadakan susulan Dewan Negeri Pahang yang bersidang pada Ogos tahun lalu telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bagi Majlis Biodiversiti (26 Ogos 2021) dan RUU Perbadanan Taman Negeri Pahang (25 Ogos 2021).

 

Manakala menurutnya, Enakmen Biodiversiti Pahang 2021 dan Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 telah mula berkuatkuasa 1 Januari tahun ini.

 

“Ini bermakna, agenda memelihara dan memulihara kelestarian alam dan kepelbagaian biodiversiti di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Ia bukan dilaksanakan secara bermusim, sebaliknya melalui perancangan yang rapi, konsisten dan tersusun.

 

“Malah, kita akan turut melibatkan penyertaan pihak-pihak berkepentingan daripada pelbagai latar belakang kepakaran dan profesionalisme berkaitan alam sekitar dan biodiversiti. Penglibatan pihak berkepentingan ini penting demi memastikan kita memperoleh pandangan yang bernas, strategi yang betul dan idea-idea baru daripada mereka yang pakar dalam bidang ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

 

Beliau berkata, matlamat utama daripada pengoperasi Majlis Biodiversiti Pahang dan Perbadanan Taman Negeri Pahang ini ialah memberi manfaat jangka panjang dan secara langsung kepada rakyat terutama dari segi memelihara kelestarian alam dan kepelbagaian biodiversiti agar ia boleh diwariskan kepada generasi akan datang, mewujudkan peluang pekerjaan baru serta memberi nilai tambah kepada bidang eko-pelancongan.

 

Menurut beliau, Majlis Biodiversiti Pahang adalah sebuah agensi Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk menjalankan fungsi-fungsi antaranya menasihati Kerajaan Negeri atas perkara-perkara berkaitan dengan pemeliharaan dan penggunaan berterusan sumber-sumber biologi, menggalakkan penubuhan dan mengukuhkan pengurusan sumber-sumber biologi Negeri, menimbang, merumus dan mengkaji semula dasar Negeri berkenaan dengan bioteknologi dan pemakaian terhadap bioteknologi serta menyelaras aktiviti-aktiviti tempatan, negeri, kebangsaan dan antarabangsa berhubung dengan pemeliharaan, penyelidikan dan penggunaan berterusan sumber-sumber biologi dan biodiversiti.

 

Kata beliau lagi, Perbadanan Taman Negeri Pahang pula adalah sebuah Perbadanan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk menjalankan fungsi-fungsi antaranya mengenalpasti, memperkenal dan mempromosikan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negeri Pahang, membangun, memulihara dan memelihara sejarah, budaya, flora dan fauna Taman Negeri Pahang, memperluas dan mempromosikan program pendidikan dan pengetahuan mengenai warisan budaya dan sejarah Taman Negeri Pahang, menasihati Pihak Berkuasa Negeri mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan dasar umum mengenai pemeliharaan, penggunaan, kawalan dan pengurusan serta pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negeri Pahang serta menyelaras pembangunan kediaman, perindustrian, komersial, kebudayaan dan seni serta aktiviti lain yang dikira untuk mempromosikan Taman Negeri Pahang.

 

“Pengoperasian Majlis Biodiversiti Pahang dan Perbadanan Taman Negeri Pahang ini diharap dapat membantu memperkukuhkan usaha, strategi serta pendekatan terbaik berhubung komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang bagi memelihara serta memulihara kelestarian alam dan kepelbagaian biodiversiti di negeri ini,” katanya.-PAHANGMEDIA

Leave a comment