Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah, Raja Dikasihi Rakyat

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah, Raja Dikasihi Rakyat

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah adalah seorang raja yang berjiwa rakyat.-Gambar SinarHarian

Kuantan, 22 Mei – Rakyat Negeri Pahang, pagi hari ini telah kehilangan permata setelah kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah pagi ini di Institut Jantung Negera (IJN), Kuala Lumpur pada usia 88 tahun.

Menelusuri sejarah hidup, baginda adalah seorang pemerintah yang dekat di hati rakyat kerana prinsip yang diamalkan oleh baginda iaitu ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.

Manakan tidak, sewaktu rakyat Pahang dilanda banjir besar dahulu, baginda telah bercemar duli untuk melihat keadaan rakyatnya sehingga sanggup meredah banjir demi memastikan rakyatnya sejahtera.

Almarhum telah diputerakan tepat jam 12.00 tengah hari pada hari Jumaat, 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Bandar Diraja Pekan.

Baginda merupakan anakanda ketiga Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah dengan Al-Marhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Hajjah Fatimah binti Al-Marhum Sultan Iskandar Shah.

Sebelum menjadi sultan, baginda pernah dilantik beberapa kali menjadi Pemangku Raja ketika Al-Marhum Seri Paduka Ayahanda baginda berangkat ke luar negeri dalam tahun-tahun 1956, 1959 dan 1965.

Pada 7 Mei 1974, baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang dan segala jajahan takluknya menggantikan Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah yang mangkat pada 5 Mei 1974.

Setelah genap setahun di atas singgahsana takhta Kerajaan Pahang, satu Upacara Istiadat Diraja yang penuh kebesaran telah diadakan di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada 8 Mei1975. Baginda kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan memerintah negara dari 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Baginda adalah seorang yang mempunyai pengalaman yang luas dalam lapangan ketenteraan. Pada tahun 1953, sekembalinya ke tanah air baginda beserta 116 anggota lain telah memasuki angkatan tentera menjalani latihan selama enam bulan. Baginda merupakan salah seorang daripada 13 pelatih yang telah berjaya menamatkan latihan yang cukup intensif sebagai Pelatih Pegawai Kadet di Port Dickson.

Selain itu, baginda pernah ditugaskan berkhidmat dalam Batalion ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Tapah, Perak dengan pangkat Kapten. Baginda juga pernah ditauliahkan dengan pangkat Major semasa berkhidmat dengan Askar Wataniah sebagai Pegawai Sementara.

Almarhum Paduka  Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah amat sinonim dengan dunia bola sepak tanah air.

Atas minat yang mendalam, baginda telah mengabdikan diri dalam pembangunan sukan bola sepak negara. Pada 12 Ogos 1984, beliau telah menyandang jawatan sebagai Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM).

Almarhum boleh dianggap lagenda kerana memegang jawatan sebagai Presiden FAM dalam tempoh yang lama malah dedikasi baginda terhadap pengurusan bola sepak negara membolehkan baginda mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding untuk beberapa kali.

Lebih daripada itu, Almarhum juga telah berbakti dalam sukan bola sepak dipersada antara bangsa dengan memegang jawatan sebagai Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ketujuh dari 13 Mei 1994 hingga 10 Mac 2002.

Semasa pentadabiran baginda, asia berjaya menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA di Jepun dan Korea Selatan pada 2002, yang juga sejarah kerana buat julung kalinya penganjuran kejohanan bola sepak nombor satu itu dilakukan secara bersama oleh dua negara.

Bukan setakat itu sahaja, baginda telah berjaya menghubungkan negara di rantau ini menerusi sukan bola sepak sewaktu baginda menjadi Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada tahun 2012.

Sikap seorang raja yang dermawan jelas sewaktu menjadi Presiden AFF, baginda telah menubuhkan Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN untuk mengumpul dana berjumlah AS$100,000 kepada mangsa bencana taufan Bopha yang melanda pulau Mindanao di Filipina pada 2012.

Ucapkan dan menyembah salam takziah kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, seluruh kerabat dan keluarga DiRaja Pahang di atas kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Almarhum dan digolongkan dalam kalangan para solehin.

Sesungguhnya, berita kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Haji Ahmad Shah adalah berita sedih buat seluruh rakyat Negeri Pahang.

Oleh: Admin

 

 

 

Leave a comment