BANTUAN KERAJAAN NEGERI KEPADA RAKYAT TERKESAN DIAGIHKAN SELURUH PAHANG

BANTUAN KERAJAAN NEGERI KEPADA RAKYAT TERKESAN DIAGIHKAN SELURUH PAHANG

KUANTAN, 28 MAC 2020, Sumbangan dan bantuan khas COVID-19 dari Kerajaan Negeri Pahang seperti yang telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail baru-baru ini terus diagihkan kepada rakyat yang terkesan di seluruh negeri Pahang hari ini.

Penerima bantuan terdiri daripada peniaga Majlis Daerah dan penduduk yang putus punca pendapatan, masyarakat Orang Asli, penduduk di kawasan pedalaman, orang kurang upaya termasuk pesakit dan keluarga yang kurang berkemampuan.

Pengedaran bantuan Kerajaan Negeri Pahang ini melibatkan kerjasama antara Pejabat Daerah, Pejabat Penghulu, JKKK, JKM, NGO serta UMNO Bahagian. Langkah-langkah keselamatan yang ketat telah diambil sepanjang penghantaran bantuan ini.

Turut diagihkan ke seluruh negeri Pahang ialah bantuan daripada Ahli Parlimen dan UMNO bahagian. Bantuan-bantuan ini akan diteruskan secara berperingkat sehingga tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rakyat terkesan yang belum menerima bantuan diharap dapat bersabar seketika kerana ianya sedang diusahakan sebaik mungkin.

Mereka yang benar-benar terjejas dan penerima yang layak setelah disenaraikan melalui kerjasama Majlis Daerah, Penghulu dan wakil rakyat akan menerima bantuan ini bagi meringankan beban mereka dikala Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Rakyat di negeri Pahang diminta untuk terus memberikan kerjasama mematuhi arahan PKP dengan duduk dirumah bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19. Teruskan menjaga keluarga, kesihatan dan kebersihan, amalkan langkah-langkah keselamatan mengawal penularan wabak ini seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan.

Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Parlimen, kakitangan Pejabat Daerah, Penghulu, JKKK, NGO, JKM dan semua yang terlibat dalam membantu mengagihkan bantuan. Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Pahang yang telah memperuntukan bantuan kepada rakyat yang terkesan.

Semoga penularan wabak COVID-19 dapat diatasi segera dan negara pulih seperti sediakala. Sama-sama kita doakan.

Berikut dipaparkan sebahagian gambar-gambar penghantaran bantuan COVID-19 ke seluruh negeri Pahang, hari ini.

Disediakan oleh

Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment