WANITA PAHANG TERUS DIPERKASA MELALUI PELBAGAI PROGRAM
Wanita di Pahang akan terus diperkasakan melalui pelbagai bidang yang ada melibatkan program yang dijalankan oleh Kerajaan Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Pahang sentiasa membantu dan bersama kaum wanita di negeri ini.
“Kerajaan Negeri tidak pernah melupakan kaum wanita sama ada melalui jawatan atau apa sahaja. Maknanya dari semasa ke semasa, penglibatan kaum wanita di negeri ini sentiasa ada dan meningkat.
“Dan antara inisiatif yang telah kita bagi di Pahang ini adalah antaranya menubuhkan Majlis Pembangunan Wanita Pahang yang mempunyai wakil dari setiap parlimen di Pahang, kita juga telah melancarkan Pahang Women Centre.
“Selain itu kita ada program Anggun Niaga kepada usahawan ibu tunggal di negeri ini, program Anggun Usaha kepada usahawan kecil wanita, serta program saringan mamogram Cakna Suri, dan program saringan kanser serviks. Dan tahun ini kita telah melancarkan Pahang Pride Kids, dan khidmat Aduanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Bengkel Perkasa Wanita Pahang bertemakan Wanita Mendepani Cabaran, Membina Kemakmuran, Mencipta Kegemilangan di Hotel Swiss Garden.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nor yang juga Pengerusi Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang; dan Timbalan Pengerusi Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang, YB. Datuk Seri Maznah Mazlan.
Beliau berkata bagi tujuan ini Kerajaan Negeri telah memberi peruntukan bernilai RM5 juta bagi program melibatkan wanita di Pahang bagi tahun 2022.
“Kita harapkan wanita di negeri ini dapat diperkasakan bukan sahaja di Pahang tetapi juga negara kita dan merentasi sempadan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. -PAHANGMEDIA