All Blog Posts

RSN 2050 Jadikan Pahang Berdaya Maju

RSN 2050 Jadikan Pahang Berdaya Maju

 

KUANTAN 12 Nov. – Kerajaan negeri komited memastikan empat teras dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) 2050 dilaksa­nakan dengan jaya oleh semua jabatan dan agensi di bawah pentadbirannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keempat-empat teras itu disokong dengan 33 dasar perancangan dan 97 strategi yang mampu menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri berdaya maju dalam tempoh lebih 30 tahun lagi.


Beliau berkata, ‘Pahang Cemerlang 2050’ adalah berasaskan teras Ekonomi Berdaya Maju, Spatial Seimbang, Keles­tarian Alam Sekitar dan Kese­jahteraan Sosial mengambil kira semua pandangan serta input daripada agensi dan jabatan teknikal yang berkepentingan.

“RSN ini merupakan dokumen yang menyediakan rangka kerja perancangan bertujuan memandu dan mengawal pembangunan fizikal di peringkat negeri sebagaimana peruntukan Seksyen 8 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)” katanya ketika merasmikan RSN Pahang 2050 sempena Hari Pe­rancangan Bandar Sedunia pe­ringkat negeri di sini hari ini.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan ne­geri, Abd. Rahim Muda dan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Harizah Hassan.

Menurut Wan Rosdy, antara projek yang disenaraikan ialah cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman di bawah Teras 1 dan pemuliharaan Tioman sebagai 10 pulau terindah dunia di bawah Teras 2.

Katanya, kerajaan negeri turut merancang menjadikan Taman Negara Pahang sebagai Tapak Warisan Dunia Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta memperkasakan Pengurusan Rizab Biosfera Tasik Chini sebagai Tapak Biosfera Negara di dalam Teras 4.

“Kita berharap RSN ini secara tidak langsung menjadikan Pahang sebuah negeri yang mempunyai kestabilan politik jitu dengan pengurusan ekonomi sistematik yang dapat membina persekitaran rakyat lebih berkualiti,” katanya.

Oleh: Sharifah Hazirah Syed Jufferi | Sumber: Utusan

Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS)

Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS)

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail bersama ketua Kerajaan Negeri Selangor, YAB En. Amiruddin Shari selaku Menteri Besar Selangor

Shah Alam, 8 November – Telah berlangsungnya perjumpaan buat pertama kalinya bagi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail bersama ketua Kerajaan Negeri Selangor, YAB En. Amiruddin Shari selaku Menteri Besar Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam.

Perjumpaan yang telah diketuai oleh Menteri Besar kedua-dua negeri ini adalah bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS).

Di antara perkara yang dibincangkan dalam perjumpaan ini adalah menyentuh tentang keperluan untuk menyemak semula segala syarat dan terma yang perlu dilakukan setiap lima tahun sejak pembekalan air mentah pertama dari Negeri Pahang ke Selangor sebanyak 8.82 juta meter padu pada Ogos 2015.

MB Pahang, menerusi ‘facebook’ beliau menyatakan, turut diberi perhatian utama dalam semakan itu ialah kadar penjualan air mentah pada cuma 10 sen semeter padu yang diharap dapat dinaikkan pada kadar yang lebih wajar.

Selain daripada itu, pihak Kerajaan Negeri Pahang turut meminta agar memperolehi ekuiti kira-kira 20 peratus dalam pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di Selangor.

Dalam hal ini, perbincangan lanjut perlu dilakukan bersama pihak Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan, yang turut melibatkan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) yang juga merupakan badan kawalselia berkenaan aset air di negara ini.

Oleh: A.

ECRL – Kerajaan Negeri sambut baik penggantungan untuk kaji semula kos, bukan pembatalan

ECRL – Kerajaan Negeri sambut baik penggantungan untuk kaji semula kos, bukan pembatalan


Pejabat Menteri Besar,Wisma Sri Pahang, Kuantan – Kerajaan Negeri menyambut baik ucapan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Encik Lim Guan Eng khususnya tentang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pelaksanaannya, sementara kajian ke atas kos dilakukan.

Bahawa projek ini tidak terus dibatalkan sebaliknya digantung sahaja katanya, menunjukkan projek ini masih lagi berdaya-maju, yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

“Harapan Kerajaan Negeri ialah agar kajian ini dapat dilaksana dan disiapkan segera, supaya penyambungannya kembali dapat berjalan lancar dan siap dalam tempoh yang sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir telah membuat kenyataan tentang pembatalan projek-projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) semasa beliau dalam lawatan lima (5) hari di China.

Namun demikian, Dato’ Sri Wan Rosdy telah membuat rayuan agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula keputusan.

Beliau berkata, selain menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan, pembatalan itu turut merugikan ketiga-tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan yang mana kerj-kerja awal pelaksanaanya telahpun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja pengorekan terowong bagi laluan ECRL telahpun bermula,” jelas beliau.

“Malah, kerja-kerja untuk pengambil-alihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah-tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” jelas beliau lagi.

Sumber: Khabarpahangl

Pelombong Haram Digesa Menghentikan Aktiviti Haram

Pelombong Haram Digesa Menghentikan Aktiviti Haram

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy sedang berucap di Majlis Perasmian Penutup Operasi Bersepadu Penguatkuasaan  Aktiviti Lombong Harap Pahang Barat (OPS Lombong 3.0)

Raub, 2 November – Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited dalam membanteras gejala lombong haram demi kelestarian kawasan hutannnya.

“Saya turut menasihati mereka yang terlibat dalam aktiviti melombong secara haram agar menghentikannya segera kerana lambat-laun, tindakan tegas pasti akan dikenakan ke atas mereka pula,” demikian nasihat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdi ketika ucapannya semasa Majlis Perasmian Penutup Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Aktiviti Lombong Pahang Barat (OpsLombong 3.0) di Hutan Simpan Tersang.

Ops Lombong 3.0 ini adalah lanjutan daripada operasi Ops Lombong 1.0 dan 2.0 yang merangkumi 155,129 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan termasuk kawasan yang diberi Lesen Mencarigali dan Pajakan Melombong bagi daerah-daerah Lipis dan Raub.

Sepanjang operasi dijalankan, seramai 16 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan dan 34 buah jentera dan mesin pelbagai jenis disita. Anggaran nilai bahan mineral yang disita pula adalah RM 1.5 juta.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan daripada pelbagai jabatan dan agensi atas kejayaan operasi ini,” katanya lagi semasa di akhir ucapan majlis tersebut.

Pahang Investment Corporation (PIC)-Langkah strategik untuk peningkatan prestasi S-GLCs

Pahang Investment Corporation (PIC)-Langkah strategik untuk peningkatan prestasi S-GLCs

Kuantan, 16 September – Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan penubuhan Pahang Investment Corporation (PIC) sebagai langkah strategik untuk pengstrukturan dan meningkatkan prestasi Anak Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLCs).

Ia telah dimaklumkan oleh Dato’ Sri Haji Wan Rosdy didalam temubual beliau bersama pengamal media tempatan sempena 100 hari pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar Pahang yang baru.

“Melalui penubuhan PIC ini, semua agensi kerajaan negeri berhasrat menceburi perniagaan dengan modal besar atau kerjasama dengan syarikat lain perlu dibincangkan dan diperhalusi di peringkat ini supaya ia dapat disusun secara teratur dan berkesan.

“Penubuhan PIC sudah diluluskan Kerajaan Negeri dan ia dalam proses penyusunan termasuk pelantikan Pengurus Besar,” jelas beliau.

Selain daripada itu, PIC juga ditubuhkan sebagai ‘One-Stop-Centre’ kepada 40 anak syarikat milik Kerajaan Negeri.

Dengan meletakkan syarikat ini dibawah satu bumbung, beliau turut yakin dapat memudahkan Kerajaan Negeri untuk memantau prestasi berdasarkan KPI yang telah ditetapkan disamping memberikan khidmat nasihat kepada mereka untuk membuat pelaburan yang betul dengan pulangan yang menjanjikan keuntungan.

Peruntukan lebih RM5 Juta Tangani Masalah Air Di Kuantan

Peruntukan lebih RM5 Juta Tangani Masalah Air Di Kuantan

Kuantan, 20 Ogos – Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan peruntukan lebih RM5 juta bagi menangani segera masalah gangguan bekalan air di Kuantan, yang terkesan ekoran musim kemarau ketika ini.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Menteri Besar Pahang, peruntukan ini ialah bagi membaiki kebocoran pada ban berhampiran Rumah Pam Kobat dan menjalankan kerja-kerja pembenihan awan di atas kawasan-kawasan tadahan air yang berkenaan.

Kedua-dua langkah ini dijangka dapat membantu dalam meningkatkan kandungan air di kawasan-kawasan berkenaan, seterusnya mengatasi gangguan bekalan air yang membabitkan 80,000 akaun di daerah ini.

Ini adalah susulan kepada lawatan kerja oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ke Rumah Pam berkenaan disusuli ke Loji Rawatan Air (LRA) Panching pada pagi semalam.

Sebelum itupun, pada 14 Ogos, lawatan kerja yang sama telah dilakukan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas, Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri, Dato’ Norol Azali Sulaiman.
    
“Sebanyak RM5 juta daripada peruntukan ini akan disumbangkan oleh pemain-pemain utama industri di Kawasan Perindustrian Gebeng, sepertimana mereka persetujui pada pertemuan dengan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, pagi ini.

“Peruntukan RM5 juta ini khusus bagi memperbaiki kebocoran pada ban berhampiran Rumah Pam Kobat, manakala selebihnya akan ditanggung sendiri oleh Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja pembenihan awam,” menurut kenyataan media tersebut.

Pada pertemuan dengan Menteri Besar, pemain-pemain utama industri ini yang menamakan diri sebagai Kumpulan Sokongan Industri Gebeng (GISG; Gebeng Industrial Support Group), telah bersetuju membiayai peruntukan RM5 juta ini sebagai memenuhi Tanggung jawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Peruntukan RM5 juta ini akan digunakan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan bagi mengelakkan kebocoran pada ban tersebut, dengan menggunakan kaedah ‘sheet pile’ yang lebih kukuh.

Menurut rekod, sudah dua (2) kali ban ini diperbaiki iaitu pada tahun 2015 dan 2017, melibatkan peruntukan kira-kira RM14 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri.

Pada pertemuan yang sama antara Menteri Besar dengan GISG ini, turut diputuskan ialah penubuhan Jawatankuasa Bertindak Bersama (JAC; Joint Action Committee) melibatkan kedua-dua Kerajaan Negeri dan pemain-pemain industri berkenaan.

Peranan JAC menurut kenyataan media itu lagi, ialah sebagai perantaraan bagi kedua-dua pihak untuk berbincang secara langsung mengenai apa juga perkara yang melibatkan kepentingan kedua-duanya.

 

 

Kompleks DRB-HICOM Pekan; kewujudannya dapat terus menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi daerah, seterusnya negeri dan negara

Kompleks DRB-HICOM Pekan; kewujudannya dapat terus menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi daerah, seterusnya negeri dan negara

Kompleks Automotif DRB-HICOM, Pekan, 15 Ogos – Dengan nilai pelaburan kira-kira RM1,258 juta (RM1.258 billion) serta jumlah tenaga kerja 3,618 orang atau lebih 12,000 ahli keluarga; kewujudan Kompleks DRB-Hicom ini dijangka dapat terus menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi daerah seterusnya negeri dan negara.

Inilah yang dapat disimpulkan hasil lawatan kerja setengah hari Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ke kompleks berkeluasan 315.7 ekar ini pada petang Rabu, 15 Ogos lepas.

Lawatan kerja ini ialah sebahagian daripada acara seharian, yang telah diatur oleh Pejabat Menteri Besar sempena program ‘Tok Wan Jelajah’ seluruh Pahang, yang pada hari Rabu itu di Pekan.  

Acara bermula awal pagi di Bandar DiRaja Pekan dengan beliau bersiar kaki (walkabout) ke Pasar Tani Kekal, bersarapan dengan penjawat awam di Pejabat Daerah dan Tanah, dan mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri di tempat sama.

Lawatan kerja ke kompleks ini bermula dengan singgahan-singgahan ke DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dengan 1,249 pelajar, 82 pensyarah serta dengan penyediaan 48 program pengajian.

TENAGA KERJA ANAK TEMPATAN BERKEMAHIRAN TINGGI

Sebelum singgah dan meninjau, sambil beramah-mesra dengan tenaga kerja di kilang-kilang Isuzu Hicom Malaysia Sdn Bhd dan ke DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech).

Yang terkesan dengan lawatan ini ialah kebanggaan melihat kejayaan konglomerat tempatan dengan sebahagian besar tenaga kerjanya di kilang-kilang merupakan anak Melayu tempatan.

Lebih membanggakan ialah, tenaga kerja-tenaga kerja ini memiliki mutu serta tahap kemahiran tinggi sehingga menyumbang kepada mutu kerja seterusnya pengeluaran dan pemasangan kenderaan yang berkualiti.

Salain kilang-kilang Isuzu dan Deftech, kompleks ini turut meliputi antara lain, kilang Automotive Manufacturer (M) Sdn Bhd – pemasang kenderaan jenis Mercedes Benz, Volkswagen, dan, Mitsubishi Fuso dengan kapasiti kira-kira 15,000 unit setahun.

Dengan pelaburan yang besar – RM1,258 juta (RM1.258 billion) serta komitmen kilang pengeluar kenderaan yang ternama dan banyak, dan pula mempunyai program pengembangan yang jelas untuk masa depan;

Adalah diyakini bahawa, kehadiran Kompleks Automotif DRB-Hicom di Pekan ini ‘is definitely here to stay’, sekaligus mematikan ura-ura sebelum ini bahawa kompleks ini akan dialih ke luar Pahang.

Sumber: Khabarpahang

Penurunan Kuasa Kelulusan Kebenaran (Consent) Kepada Pentadbir Tanah Daerah

Penurunan Kuasa Kelulusan Kebenaran (Consent) Kepada Pentadbir Tanah Daerah

Bilik Kunjung Hormat, Pejabat Menteri Besar Pahang, 1 Ogos – MB Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy telah membuat pengumumannya kepada pengamal media tempatan  tentang penurunan kuasa kelulusan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah daripada Menteri Besar kepada Pentadbir Tanah dan Pendaftar.

Penurunan kuasa yang bermula pada hari ini, Rabu, 1 Ogos ini dibuat demi mengurangkan karenah birokrasi, sambil menambah-baik sistem penyampaian Kerajaan lalu dapat memudah-cara dan memendekkan tempoh bagi urusan-urusan berkenaan.

“Pokoknya, kita hendak memudahkan,mempercepatkan,” katanya.

Beliau turut berkata betapa dengan keputusan ini, “dapat mengurangkan masalah birokrasi,itu yang penting. (Meningkatkan) ‘delivery system’ maka rakyat Pahang pun ‘happy’”.

Langkah ini dilihat dapat menjimatkan masa  iaitu dalam tempoh antara 1 dan 2 hari sahaja berbanding dahulu yang memakan masa hampir 6 bulan atau lebih untuk  kelulusan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah bagi tujuan kasih sayang yang melibatkan suami-isteri, anak-beranak dan waris qadim.

Dalam pada itu, beliau turut menyebutkan tentang urusan yang masih dikekalkan kuasa Menteri Besar adalah bagi permohonan pindah milik, gadaian mahupun pajakan tanah melibatkan Melayu kepada bukan Melayu, demi menjaga kepentingan tanah milik Melayu di negeri ini.

 

Sumber: Khabarpahang

Senarai Kawasan Yang Diberikan Pengecualian Cukai

Senarai Kawasan Yang Diberikan Pengecualian Cukai

Kuantan, 31 Julai – Pihak Kerajaan Negeri Pahang hari ini telah menjawab soalan perbahasan yang telah dikemukan oleh YB Lee Chean Chung (PKR-Semambu) mengenai senarai kawasan yang diberikan pengecualian cukai semasa sesi perbahasan dalam Dewan Negeri 26 Julai lalu.

 

Menerusi laman sosial ‘facebook’ MB Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah memberi jawapan kepada soalan tersebut.

Kerajaan Pusat telah memberi pengecualian cukai kepada lima (5) taman perindustrian di negeri ini iaitu Taman Automotif Pekan, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1, 2 dan 3, Taman Industri Halal Gambang dan Taman Teknologi Pahang.

 

Antara fakta-fakta penting yang perlu rakyat Pahang tahu mengenai perkara ini adalah;

1) Kerajaan Negeri peruntukkan tanah secara pegangan pajakan (leasehold) dengan nilai premium tanah tertentu yang perlu pelabur bayar.

2) Kerajaan Pusat perkenalkan insentif seperti pengecualian cukai bagi tempoh tertentu khususnya bagi pelaburan yang di bawah kategori projek perintis, demi menarik minat pelabur ke negeri ini.

Apakah kesan pengecualian cukai ini?

1) Pelabur dalam dan luar negeri datang melabur ke Pahang.

2) Industri hiliran akan berkembang.

3) Pelaburan ini dapat tawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk. Misalnya, kilang pembuatan besi keluli dari China –  Alliance Steel Sdn Bhd (ASSB) di MCKIP 1 akan tawarkan kira-kira 4, 000 peluang pekerjaan.

4) Pelaburan ini juga datangkan kesan putaran ekonomi (economic spin-off effects) kepada negeri misalnya, kilang-kilangnya membeli keperluan bahan mentah untuk menghasilkan pengeluaran serta kemudahan utiliti seperti air terawat dan bekalan elektrik.

5) Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perolehi hasil tahunan dalam bentuk kutipan cukai tanah (quit rent) dan cukai taksiran am.

 

 

Pahang Tumpu Sektor Tenaga Baharu

Pahang Tumpu Sektor Tenaga Baharu

Dato’ Sri Fakhrudin ketika ucapan dalam Majlis Perasmian Renewable Energy TNB Pahang

Pahang meletak sasaran untuk menjadi antara negeri tertinggi menggunakan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy) di Malaysia, menjelang 2020.

Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakharuddin Mohd Ariff berkata, hal ini bagi menyahut seruan kerajaan di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) yang menyasarkan 20 peratus penjanaan tenaga tersebut, di negara ini.

Menurutnya, pada masa kini, Malaysia menggunakan keseluruhan hanya 12 peratus Renewable Energy seperti angin, solar, biomass dan hidro, manakala 88 peratus bergantung kepada tenaga dari sumber arang batu.

“Negara Eropah seperti Swedan dan Switzerland telahpun mencapai penggunaan 100 peratus. Tidak lagi menggunakan arang batu. Begitu juga negeri Pahang yang mana kita jauh ketinggalan berbanding beberapa negeri di Malaysia seperti Melaka dan Johor yang telah ke depan dalam penggunaan tenaga diperbaharui ini.

“Justeru dalam usaha mencapainya, kita memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan dan pengusaha. Saya berharap jabatan berkaitan juga memberi kerjasama dari segi pemasangan. Jadikannya lebih mudah tanpa melalui proses-proses sukar yang melambatkan tenaga ini dapat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Renewal Energy TNB Pahang di Hotel Hyatt Regency di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Retail TNB Pahang, Rozianus Mohd Noor dan Pengurus Besar New Produk Development TNBX Sdn Bhd, Dr Aznan Ezraie Ariffin yang turut menyampaikan taklimat New Net Energy Metering (NEM) & Supply Agreement With Renewable Energy (SARE).

Fakharuddin berkata, kerajaan Pahang dengan kerjasama TNB akan berusaha mempergiat promosi kepada pengguna tentang penggunaan Renewable Energy.

Menurutnya, jabatan kerajaan mungkin boleh menjadi perintis dalam usaha mempromosikan usaha ini seperti penggunaan tenaga solar di bangunan mereka.

“Sahutlah seruan transformasi kerajaan negeri, seiring slogan Maju Terus Pahang dalam memastikan kerajaan lebih lancar dan efisyen menjana ekonomi negeri, dengan baik,” katanya.

 

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/3236