All Blog Posts

SEMBILAN LAPORAN POLIS DIBUAT HINA PERMAISURI AGONG

SEMBILAN LAPORAN POLIS DIBUAT HINA PERMAISURI AGONG

KUANTAN, 13 JANUARI 2020: Sembilan laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook yang mengeluarkan kenyataan penghinaan terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

Laporan berkenaan dibuat oleh wakil Majlis Pembangunan Wanita Pahang, Pergerakan Wanita UMNO Negeri Pahang, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pekan, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bentong, Pertubuhan Pronita Pahang, Kelab Mamanita Indera Mahkota dan dua individu lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, laporan polis yang dibuat ini adalah sebagai satu mesej kepada rakyat negara ini supaya menghormati Institusi Diraja.

“Jangan kita sewenang-wenangnya nak menulis di media sosial, nak mengata institusi diraja kita dengan panggilan-panggilan yang tidak baik yang saya kira agak biadap juga apabila ada yang menulis nenek sihir, rasis dan sebagainya.

“Kerana kita tahu Institusi Raja, Agong dan Permaisuri adalah satu lambang, satu ikon kepada negara kita serta seluruh rakyat negara,” katanya ketika ditemui UKOMP selepas membuat laporan polis berkenaan.

Sebelum ini, akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Nengtung Ting’ ditulis dalam bahasa Cina telah menghina dan mencerca KDYMM Permaisuri Agong yang juga Tengku Ampuan Pahang berikutan pengunaan tulisan jawi di dalam akaun Twitter baginda.

Katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini boleh mencetuskan kebencian serta perasaan tidak senang di kalangan rakyat.

“Justeru kita membuat laporan polis hari ini supaya menjadi satu pengajaran kepada rakyat negara ini. Saya meminta polis mengambil tindakan segera terhadap pengkhianat yang berselindung di sebalik nama Nengtung Ting ini dan beberapa pengguna lain yang jelas menghina KDYMM Raja Permaisuri Agong,” katanya.

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang
#Pahang1st
#KerajaanNegeriPahang
#PahangGo

SEMAKAN SEMULA KADAR CUKAI TANAH TIDAK MEMBEBANKAN

SEMAKAN SEMULA KADAR CUKAI TANAH TIDAK MEMBEBANKAN

KUALA LIPIS, 11 JANUARI 2020: Semakan semula kadar cukai tanah di negeri ini bermula tahun ini tidak membebankan golongan masyarakat berpendapatan rendah.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana kadar cukai tanah di negeri ini merupakan kadar paling rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

“Kerajaan Negeri telah mengkaji sebelum membuat keputusan menaikkan kadar cukai tanah ini dengan mengambil kira faktor kadar sebelum ini yang agak rendah berbanding nilaian tanah semasa.

“Pada asasnya, kadar baru ini dikira berasaskan faktor satu peratus dari nilai tanah semasa. Bagaimanapun, atas keperihatinan pihak kerajaan, penetapan kadar sebenar yang dibuat sebenarnya adalah lebih rendah daripada faktor satu peratus tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta di Dewan Balora Benta di sini hari ini.

Beliau berkata, semakan kadar cukai tanah yang dibuat oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara pada 14 Disember 2015 yang menetapkan semua negeri menyemak semula kadar cukai tanah negeri masing-masing.

“Kali terakhir negeri Pahang membuat semakan kadar cukai tanah adalah pada tahun 2007, namun ia diguna pakai kepada tanah yang diluluskan bermula tahun 2007 sahaja.

“Bagi tanah yang diluluskan sebelum tahun 2007, kadar cukai yang digunakan adalah kadar cukai tanah tahun 1994, iaitu 25 tahun lalu,” katanya.

Katanya, semakan kadar baharu ini dibuat secara menyeluruh melibatkan tanah-tanah industri, pertanian, perniagaan dan kediaman bagi menyelaras kadar cukai tanah di negeri Pahang bagi memastikan kadar cukai tanah bersesuaian dengan nilai tanah dan penggunaan tanah semasa.

“Kenaikan ini juga bertujuan menyelaraskan dua kadar kiraan cukai berbeza yang diguna pakai sebelum ini iaitu kadar tahun 1994 dan 2007.

“Kenaikan kadar cukai tanah ini memberi lebih penekanan kepada kawasan industri, perniagaan dan pertanian yang melebihi 10 ekar. Bagaimanapun, kadar yang ditetapkan adalah berbeza mengikut daerah dan lokasi serta jenis perniagaan atau perladangan,” jelasnya.

Beliau berkata, bagi tanah pertanian, kadar baharu ini hanya melibatkan tanah-tanah yang melebihi 10 ekar selaras dengan keperihatinan Kerajaan Negeri untuk tidak membebankan pekebun kecil, golongan B40 dan peneroka Felda serta Felcra.

Menurut beliau lagi, bagi tanah kediaman pula, tiada kenaikan kadar cukai dikenakan, namun penyelarasan dibuat bagi hakmilik yang masih menggunakan kadar cukai tanah 1994, di mana kadar baharu bagi tanah tersebut akan menggunakan kadar tahun 2007.

Mengulas mengenai rungutan mengenai kadar kenaikan cukai yang dihadapi oleh beberapa pihak, beliau menasihatkan supaya pemilik tanah menukar syarat kegunaan tanah bagi tanah berstatus tiada syarat.

“Bagi syarat tanah berstatus Nil Condition (Tiada Syarat) merupakan kadar kenaikan paling tinggi kerana nilaian tanah yang tiada syarat nyata ini adalah tinggi.

“Tanah-tanah ini terbahagi kepada tiga keadaan iaitu kategori ‘Tiada’ dan syarat nyata juga Tiada; kategori ‘Pertanian’ dan syarat nyata ‘Tiada’ dan kategori ‘Bangunan’ dan syarat nyata ‘Tiada’.

“Kerajaan Negeri mencadangkan pemegang hakmilik tanah tiada syarat ini supaya menukar syarat kegunaan tanah masing-masing kepada penggunaan sebenar bagi penetapan kadar baharu yang lebih rendah dan bersesuaian,” katanya.

Bagi rayuan pengurangan kadar cukai tanah pula Kerajaan Negeri bersedia menerima sebarang rayuan yang dirasakan layak untuk dipertimbangkan.

“Bagi pemilik-pemilik ladang, industri dan perniagaan yang merasakan cukai tanah mereka adalah terlalu tinggi sebagai kerajaan yang prihatin, Kerajaan Negeri bersedia menerima sebarang rayuan.

“Bagi tujuan tersebut, satu jawatankuasa rayuan akan ditubuhkan bagi mempertimbangkan setiap rayuan pengurangan cukai yang menepati syarat-syarat yang akan ditetapkan,” katanya.

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang
#Pahang1st
#KerajaanNegeriPahang
#PahangGo

KERAJAAN NEGERI PERUNTUK BAYARAN KHAS RM11 JUTA BAGI GOLONGAN MISKIN, JKKK DAN IMAM

KERAJAAN NEGERI PERUNTUK BAYARAN KHAS RM11 JUTA BAGI GOLONGAN MISKIN, JKKK DAN IMAM

KLIPIS, 11 JANUARI 2020 : Kerajaan Pahang memperuntukkan kira-kira RM11 juta sebagai bayaran khas kepada golongan miskin, Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan imam di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bayaran berkenaan dibuat menerusi projek dan program khas yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri berdasarkan kepada keadaan kewangan negeri yang bertambah baik hasil.

“Bantuan khas one-off kepada golongan miskin ini termasuklah kepada ibu tunggal dan warga emas dalam kategori miskin sebanyak RM300 setiap seorang. Ia dijangka dapat memberi manfaat kepada 25,000 orang yang menelan belanja dianggarkan sebanyak RM7.5 juta.

“Bayaran bagi one-off kepada 542 JKKK di negeri Pahang sebanyak RM5,000 dengan keseluruhan peruntukan adalah RM2.71 juta.

“Bayaran khas one-off kepada imam-imam masjid kariah di negeri Pahang sebanyak RM1,000. Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 1,036 imam dan kos keseluruhan sebanyak RM1.036 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta di Dewan Balora Benta di sini hari ini.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd. Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Haji Long; ADUN Cheka, YB Encik Lee Ah Wong; Presiden MCA Pahang, Tan Sri Dato’ Sri Lam Kam Sang; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Selain tiga projek khas ini, beliau turut memperuntukkan kira-kira RM10 juta hingga RM12 juta bagi membina projek takungan air di daerah Lipis.

“Projek takungan air ini bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air di Lipis. Kerajaan Negeri juga akan mengenalpasti lain-lain lokasi yang sesuai dan memerlukan sumber air tambahan untuk membina projek takungan air seperti ini,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan kad kesihatan khas kepada warga emas di negeri Pahang dengan anggaran kos keseluruhan RM10 juta.

“Kerajaan Negeri juga akan membina 84 unit rumah untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negeri Pahang dengan anggaran keseluruhan sebanyak RM5 juta selain turut mengkaji pelaksanaan Skim Perumahan Rakyat bagi golongan B40,” katanya.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, projek khas dengan anggaran keseluruhan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM39 juta ini adalah berdasarkan keadaan kewangan negeri Pahang yang bertambah baik hasil kutipan pada tahun lepas.

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP

#MajuTerusPahang
#Pahang1st
#KerajaanNegeriPahang
#PahangGo

LEGA, GEMBIRA TERIMA SUMBANGAN MENTERI BESAR

LEGA, GEMBIRA TERIMA SUMBANGAN MENTERI BESAR

KUALA LIPIS, 11 JANUARI 2020 : Perasaan lega dan gembira terukir di wajah Encik Ahmad Khalidan Mohamad semasa menerima sumbangan mewakili cucunya yang kurang upaya daripada Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.

Ahmad Khalidan, 61, yang menjaga Muhammmad Aiman Abdullah, 15, sejak lahir berkata, sumbangan ini akan digunakan untuk rawatan cucunya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Terima kasih YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy atas sumbangan yang amat besar maknanya kepada kami ini. Sumbangan ini dapat mengurangkan beban kewangan keluarga kami dalam rawatan Aiman.

“Kami menghabiskan kira-kira RM600 bagi setiap perjalanan pergi dan balik daripada Kuala Lipis ke HTAA setiap tiga bulan sekali kerana terpaksa menyewa kereta,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Penyampaian Notis 5A Serta Suratan Hak Milik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Fasa 1,2,3, dan 4 di Perkarangan Masjid Kampung Batu Sembilan, Mukim Cheka di sini hari ini.

Ahmad Khalidan antara enam penerima yang menerima sumbangan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar dengan jumlah keseluruhan RM30,000.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Encik Abd. Rahim Muda; Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Haji Long; ADUN Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Beliau berkata, Aiman pada mulanya normal seperti kanak-kanak biasa namun menjadi kurang upaya setelah diserang penyakit sawan ketika berusia 13 tahun.

“Doktor mengesyaki Aiman menghidap penyakit berkaitan saraf akibat serangan sawan dahulu sehingga menyebabkan dia bergantung harap kepada bantuan saya dan isteri sahaja untuk menguruskan diri.

“Aiman tidak mampu berjalan dan saya akan membawa dia ke mana-mana menggunakan kerusi roda sahaja. Pertuturan Aiman juga adalah terbatas,” katanya.

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang
#Pahang1st
#KerajaanNegeriPahang
#PahangGo

7 Perkara Ibu Bapa Kena Tahu Tentang Influenza A Pada Kanak-Kanak

7 Perkara Ibu Bapa Kena Tahu Tentang Influenza A Pada Kanak-Kanak

7 PERKARA IBU BAPA PATUT TAHU TENTANG INFLUENZA A PADA KANAK-KANAK

1. Apakah Influenza A?

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Influenza A adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A (H1N1). Ia digelar dengan nama ‘Swine Flu’ atau ‘Bird Flu’ – kerana ia boleh menjangkiti haiwan tersebut.

Yang pastinya, ibu ayah perlu berhati-hati kerana virus ini merupakan sebahagian daripada influenza bermusim (seasonal influenza) dan amat mudah berjangkit. Bayi yang belum mencapai usia setahun didapati berisiko tinggi untuk dijangkiti virus ini.

Foto Kredit: rcemlearning.co.uk

2. Beza Antara Demam Selesema Dengan Influenza A

Sememangnya agak sukar untuk mengenalpasti sama ada anak terkena demam selesema biasa atau dijangkiti virus Influenza A kerana kedua-duanya mempunyai simptom awal yang biasa. Walau apapun, kedua-dua penyakit ini dibawa oleh virus yang berbeza.

Merujuk kepada rajah di bawah, berikut adalah perbezaannya yang perlu anda kenalpasti.

Foto Kredit: infosihat.gov.my

3. Punca Influenza A

Bayi boleh terdedah kepada virus Influenza H1N1 hanya melalui sentuhan daripada orang yang dijangkiti virus ini melalui batuk, bersin dan sentuhan objek daripada pesakit Influenza A.

Risikonya lebih tinggi sekiranya bayi sering berada di kawasan yang padat dengan orang.

tips bawa bayi bercuti

Foto Kredit: theodysseyonline.com

4. Golongan Berisiko Dijangkiti Influenza

Seperti demam selsema, risiko jangkitan influenza A juga ada pada semua bayi. Namun, bayi yang mempunyai penyakit seperti asthma dan diabetis lebih berisiko untuk menghadapi komplikasi apabila didiagnos dengan virus H1N1.

Selain bayi, golongan berisiko tinggi juga terdiri daripada kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes).

Tanpa rawatan awal, komplikasi yang dihadapi boleh melarat sehingga membawa maut. Oleh itu, adalah penting untuk ibu bapa mendapatkan rawatan segera sekiranya bayi demam dan menunjukkan beberapa simptom di atas.

influenza a

Foto Kredit: Kementerian Kesihatan Malaysia

5. Rawatan & Vaksin

Menurut pakar perubatan, pengambilan vaksin setahun sekali adalah ikhtiar yang terbaik dan jimat untuk mencegah diri daripada jangkitan virus Influenza A, terutamanya bagi golongan berisiko. Di Malaysia, ia boleh didapati dengan harga sekitar RM40 ke RM250, bergantung kepada jenis dan jenama.

Namun, bayi yang berusia kurang daripada 6 bulan tidak sesuai untuk mendapatkan vaksin ini kerana didapati suntikan tersebut tidak menunjukkan tindak balas postif untuk melindunginya.  Oleh itu, adalah disarankan untuk ahli keluarga lain untuk mendapatkan vaksin ini dalam usaha mencegahnya daripada menjangkiti bayi. Kanak-kanak yang menghidap penyakit seperti lelah (asthma) atau jangkitan paru-paru juga boleh mengambil vaksin ini untuk perlindungan awal.

Jika telah dijangkiti, ubat antiviral seperti Oseltamivir (Tamiflu®) dan Zanamivir (Relenza®) adalah antara yang boleh digunakan untuk merawatnya. Ubat ini hanya akan diberikan kepada pesakit-pesakit yang telah dimasukkan ke hospital.

Foto Kredit: socialsciencespace.com

6. Apa Perlu Buat Jika Anak Menghidap Influenza A?

Perhatian kepada anak ketika sakit adalah amat penting supaya bayi cepat sembuh. Berikan ubat mengikut preskripsi dan saranan doktor. Tempoh jangkitan lazimya mengambil masa 7-21 hari untuk sembuh.

Jika bayi masih menyusu badan, teruskan susuan badan sekerap mungkin supaya anak kekal hidrat. Bagi kanak-kanak, pastikan mereka minum air masak yang banyak. Suhu badan anak juga perlu diperhatikan dari semasa ke semasa. Seeloknya tukar cadar, langsir, tuala dan kain yang terdedah kepada virus.

Amalkan buah dan sayur sayuran secukupnya dan pastikan peredaran udara baik dalam bilik.

sawan demam

Foto Kredit: romper.com

7. Cara Pencegahan

Seluruh keluarga perlu belajar cara untuk mencegah daripada jangkitan wabak Influenza A.

Pertama, kesihatan diri perlu dijaga. Sentiasa bekalkan sapu tangan kecil atau tisu untuk menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin. Amalkan rutin mencuci tangan dengan sabun selepas memegang sesuatu. Boleh juga gunakan ‘hand sanitizer’ jika ketiadaan tempat untuk mencuci tangan.

Pastikan rumah sentiasa dalam keadaan bersih dengan sarung bantal dan tilam yang sering ditukar, elakkan untuk berkongsi barang dengan ahli keluarga yang sedang sakit.

Foto Kredit: kpkesihatan.com

AWAS, JANGAN PANDANG RINGAN

Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk kita membina keluarga yang sentiasa mengamalkan kesihatan dan kebersihan sebagai sebahagian daripada rutin. Elakkan bayi daripada didekati dengan orang yang sedang sakit dan kawasan yang padat dengan orang.

Dan jika anda dijangkiti, jangan hantar anak ke pusat asuhan dan berehatlah di rumah sahaja. Jangan bawa anak keluar ke mana-mana kerana anda boleh menyebabkan orang lain terjangkit sama. Malah, dikhuatiri juga jangkitan boleh menjadi semakin teruk.

 

Kira-kira 60% premis sudah patuhi syarat tulisan jawi.

Kira-kira 60% premis sudah patuhi syarat tulisan jawi.

Oleh: Fansurina Abdullah

Kuantan, 7 Jan- Kira-kira 60 peratus daripada 313 premis perniagaan di seluruh daerah ini mematuhi peraturan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan yang berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Puan Norkamawati Kamal berkata, daripada tinjauan yang dilakukan pihaknya, terdapat sekitar 35 hingga 40 peratus premis masih lagi belum mematuhi arahan berkenaan.

“Jadi kita telah kenakan kompaun kepada mereka kerana gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan dengan kadar RM250 bagi setiap kesalahan. Sehingga kini sebanyak 25 kompaun telah dikeluarkan.

“Penguatkuasaan ini akan berterusan dari semasa ke semasa sehingga akhir tahun sehingga semua premis di daerah Kuantan dapat mematuhi peraturan tersebut,” katanya kepada media pada Operasi Tulisan Jawi dan Lain-lain Kesalahan oleh MPK di sekitar Kuantan, pagi tadi.

Beliau berkata, operasi itu telah dijalankan sejak empat hari lalu bermula 2 Januari lalu dengan penglibatan seramai 67 anggota penguatkuasa melibatkan kawasan perindustrian dan premis perniagaan di daerah itu.

“Antara kawasan terlibat operasi berkenaan ialah Gebeng, sekitar bandar Kuantan, kawasan perindustrian Padang Lalang dan Jalan Gambang,” katanya.

Katanya, kebanyakan pengusaha premis yang gagal mempamerkan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan masing-masing memberikan alasan tidak sempat berbuat demikian.

“Antara alasan-alasan yang diberikan oleh pengusaha premis adalah ketiadaan kos kerana mahal untuk membuat papan tanda yang baharu. Pihak MPK telah memberikan kelonggaran pada peringkat awal perlaksanaan peraturan ini dengan membenarkan penggunaan pelekat untuk dilekatkan pada papan tanda sedia ada,” katanya.

Tambahnya, pihak pengiklan juga telah dimaklumkan tentang syarat-syarat perletakkan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan dan iklan bagi memastikan syarat dipatuhi.

Sumber: Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)

 

KERAJAAN PAHANG TANGGUNG KOS YURAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN

KERAJAAN PAHANG TANGGUNG KOS YURAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN

KUANTAN, 08 JANUARI 2020: Kerajaan Pahang akan menanggung kos yuran pendaftaran perkahwinan pasangan yang ingin mendaftar pernikahan mereka di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara ini sudah dibincangkan oleh pihaknya selepas terdapat lebihan dalam Bajet Pahang 2020 yang dibentangkan akhir tahun lalu.

“Oleh itu, kita akan pulangkan balik kepada rakyat. Antaranya kita akan buat adalah bagi yang akan melangsungkan perkahwinan kali pertama tidak perlu bayar yuran pendaftaran.

“Kerajaan Negeri akan bayar bagi pihak mereka kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Dijangka sebanyak RM3 juta akan diperuntukan untuk perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu, Kerajaan Pahang juga merancang untuk membina dua rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

“Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd Rahim Muda sedang buat kajian dan pemilihan akan ditentukan oleh Pegawai Daerah.

“Ini semua akan dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang. Jika kita laksanakan semua ini dan ada lebihan serta kutipan hasil kita baik, lebih banyak benda lain untuk rakyat kita akan bagi,” katanya.

Disediakan oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)

KERAJAAN NEGERI BERTOLAK ANSUR HENTI PENGUATKUASAAN TIGA HARI DI CAMERON HIGHLANDS

KERAJAAN NEGERI BERTOLAK ANSUR HENTI PENGUATKUASAAN TIGA HARI DI CAMERON HIGHLANDS

 

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Video: Azmaidi Abidin

KUANTAN, 27 DISEMBER 2019 : Kerajaan Negeri akan menghentikan tindakan penguatkuasaan selama tiga hari terhadap aktiviti penerokaan tanah haram di kawasan tadahan air Kuala Terla, Sungai Ichat, di Cameron Highlands bermula hari ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata tempoh tiga hari ini diberikan bagi membolehkan peneroka-peneroka haram ini membuka sendiri peralatan milik mereka di kawasan yang terlibat.

“Ada permohonan daripada mereka (peneroka haram) yang terlibat supaya diberi peluang untuk mereka membuka dan menanggalkan sendiri peralatan di tanah-tanah haram ini.

“Tempoh tiga hari ini diberikan supaya barang-barang yang mereka letak di situ (kawasan operasi) tidak rosak dan mereka boleh jual semula dan sebagainya, Jadi Kerajaan Negeri bersetujulah supaya hari Jumaat, Sabtu dan Ahad tidak ada penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Cek Sumbangan kepada 20 penerima termasuklah 17 daripadanya adalah kaum India berjumlah RM120,280 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sumber: Pahang Media

Kerajaan Negeri Pahang sumbang RM22.4 juta sepanjang 2019

Kerajaan Negeri Pahang sumbang RM22.4 juta sepanjang 2019

Oleh: Fansurina Abdullah

Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 Disember 2019 – Kerajaan Pahang membelanjakan sebanyak RM22.4 juta sepanjang tahun 2019 bagi membantu rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut termasuklah agihan bantuan untuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), pelajaran dan rawatan kesihatan bagi seluruh rakyat di negeri ini.

Menurutnya, bantuan yang disumbangkan menerusi NGO pula bertujuan untuk membiayai aktiviti dan program yang dianjurkan oleh badan-badan berkenaan.

“NGO di negeri Pahang ini memang aktif menganjurkan pelbagai program dan kursus,” beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Bencana Negeri Pahang di perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB En. Abd Rahim Muda.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, inisiatif penubuhan Skuad Bencana ini merupakan idea yang sangat baik dalam membantu dan melengkapi agensi sedia ada seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Lambaian mesra Tok Wan ketika acara ‘Flag Off’ Skuad Bencana Banjir Negeri Pahang.

“Skuad Bencana ini tidak boleh mengambil alih tugas agensi yang sedia ada seperti polis dan bomba, sebaliknya perlulah membantu mereka ketika bencana berlaku,” katanya.

Dalam ucapannya, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, sukarelawan harus sentiasa bersiap siaga untuk menyumbang tenaga dan kepakaran dalam membantu mangsa ketika ditimpa bencana sama ada kebakaran, banjir atau apa sahaja malapetaka.

Bantuan juga perlu diselaraskan dan dilaksanakan mengikut pengetahuan dan kepakaran masing-masing supaya tidak membahayakan mangsa dan diri sukarelawan itu sendiri.

Skuad bencana negeri itu melibatkan seramai 421 peserta sukarelawan dengan 139 pelbagai kenderaan dari 48 agensi dan pertubuhan di seluruh negeri itu.

Disediakan oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang.

MANGSA KEBAKARAN TARIK NAFAS LEGA TERIMA BANTUAN SEGERA DARI MB PAHANG

MANGSA KEBAKARAN TARIK NAFAS LEGA TERIMA BANTUAN SEGERA DARI MB PAHANG

Oleh: Mahathir Ali

KUANTAN, 17 DISEMBER 2019, Seorang penjual sayur di Pasar Besar kuantan, Musa bin Mamat yang ditimpa musibah kebakaran rumahnya baru-baru ini menarik nafas lega hari ini apabila menerima bantuan segera sumbangan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.

Bantuan segera itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang yang juga merupakan ADUN Lepar, YB. Encik Abd Rahim Muda yang turun padang melawat mereka sekeluarga di PAKR, Panching.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Musa Mamat yang sedang menunaikan solat Maghrib di surau berhampiran rumahnya bergegas pulang selepas mendapat khabar rumahnya terbakar bagi menyelamatkan isterinya seorang pesakit buah pinggang bersama anak perempuannya.

Penduduk kampung telah menyelamatkan isteri dan anaknya namun wang simpanan untuk rawatan penyakit Buah Pinggang isterinya berjumlah hampir RM16,000 telah hangus terbakar.

Menurut, YB. Abd Rahim Muda,” Menteri Besar telah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan meminta beliau menyampaikan bantuan segera bagi meringankan beban mereka sekeluarga. Pihak UMNO Paya Besar juga menghulurkan sumbangan. Kerajaan Negeri akan terus menyalurkan bantuan-bantuan lain selepas ini bagi memastikan kehidupan mereka sekeluarga dapat dibina semula.

Beliau juga meminta agar penduduk sentiasa mengambil berat setiap perkakas elektrik di rumah termasuk sistem wayering. Soket  penyambung, plug dan wayering yang lama harus di tukar kerana ianya sering menjadi punca kebakaran. Disamping itu kebocoran paip gas juga harus diberi perhatian.

Sementara itu, Musa Mamat ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang diatas sumbangan bantuan segera yang diterimanya.

Walaupun Menteri Besar masih berada diluar negara atas urusan kerja, namun beliau tetap mengambil berat. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan mereka sekeluarga yang kini menumpang sementara dirumah ibunya.

Sumber: Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)