DUA ANAK PAHANG HARUM NAMA NEGARA DI OSAKA, JAPAN

DUA ANAK PAHANG HARUM NAMA NEGARA DI OSAKA, JAPAN

Pasukan Malaysia Warrior B12 ketika di Kejohanan Bola Sepak Piala Global J-Green Sakai Bawah 12 Tahun (B-12) di Osaka, Jepun.

Pasukan Malaysia Warrior mengharumkan nama negara selepas menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Global J-Green Sakai Bawah 12 Tahun (B-12) di Osaka, Jepun pada Isnin baru ini.

Dalam aksi final di Pusat Latihan Bola Sepak Kebangsaan Jepun J Green itu, skuad muda negara mengalahkan pasukan Divisyen Dua Liga Jepun, Ventforet Kofu, 2-0, menurut hantaran terbaharu dalam laman Facebook Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Malaysia Warrior sebelum itu menewaskan Kelab Cerezo Osaka, 2-1 pada aksi suku akhir, sebelum menundukkan wakil India, RFYU, 1-0 pada aksi separuh akhir.

Untuk rekod, pasukan berkenaan muncul Juara Kumpulan B pada pusingan awal kejohanan bola sepak tahunan berkenaan.

Apa yang lebih menarik, Dua pemain remaja Pahang, Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkamal ’12’ dan Muhammad Raiyan Izzan Nurqhaireel Izzuan ’11’ beraksi cemerlang dan membanggakan pada Kejohanan Bola Sepak Piala Global Yakult 2019 itu.

Ia adalah satu pencapaian yang sangat bermakna dan membanggakan sebagai anak jati Pahang. Mereka menjadikan medan pertandingan ini sebagai persediaan untuk menjadi pemain berkaliber pada masa depan.

Menurut, Ahmad Zamil Zaqwan, 12, yang juga merupakan murid di Sekolah Rendah Kebangsaan Teruntum, Kuantan, kejohanan itu adalah pentas terbaik menimba pengalaman bagi membantunya mencapai impian bergelar pemain bola sepak profesional satu hari nanti.

“Mungkin suatu hari nanti saya berpeluang untuk bermain dalam Liga J (Liga Bola Sepak Jepun),” kata pelajar tahun enam yang bermain di posisi serangan itu.

Kejayaan dua anak Pahang ini bersama pasukan Malaysia merupakan satu kebanggaan buat Negeri Pahang. Kerajaan Negeri Pahang mengucapkan tahniah kerana telah mengharumkan nama Negeri Pahang dan kejayaan mereka menjadi idola kepada pemain bolasepak muda yang lain. Alhamdulillah.

Sumber: Unit Komunikasi & Media Pahang

Leave a comment