DUN PAHANG: KERAJAAN NEGERI SASAR KUTIPAN HASIL RM1 BILION

DUN PAHANG: KERAJAAN NEGERI SASAR KUTIPAN HASIL RM1 BILION

KUANTAN 18 NOVEMBER 2019: Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1 bilion dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Bagi mencapai tujuan tersebut pelbagai insentif sedang dirangka seperti memperkemaskan sistem penyampaian dengan memperkenalkan langkah-langkah proaktif yang akan meningkatkan pendapatan Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri telah mengutip RM15 juta daripada Duti Hiburan di negeri ini bagi tempoh sehingga November tahun ini berbanding RM9.6 juta pada 2018 dan dijangka akan terus meningkat pada tahun 2020.

“Jumlah ini dijangka meningkat pada tahun 2020 apabila Kerajaan Negeri mensyaratkan agar bayaran Duti Hiburan perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum lesen hiburan dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pengemaskinian prosedur ini dijangka dapat meningkatkan kutipan hasil negeri dan PBT,” katanya semasa ucapan Belanjawan Tahun 2020 Kerajaan Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi memperkasakan penguatkuasaan, sebanyak RM1.9 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan dan pemusnah bangunan tanpa izin di atas tanah kerajaan.

“Sebanyak dua unit excavator, dua unit backhoe, dan sebuah unit self-loader dibeli untuk melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan dan pemusnah bangunan.

“Perolehan jentera ini adalah komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani kes-kes pencerobohan yang secara tidak langsung dapat membendung ketirisan hasil negeri,” katanya.

Beliau menambah, setakat ini, sebanyak lima operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi sepanjang tahun ini.

“Antara operasi yang dilaksanakan adalah Ops Tanglung, Ops Lombong 4.0, Ops Tebas, Ops Ronda dan Ops Lombong Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang.

“Jabatan Perhutanan Negeri telah membawa sembilan kes kesalahan hutan untuk pertuduhan di mahkamah dan telah memenangi kesemua kes tersebut… Sebanyak RM764,000 telah berjaya dikutip sebagai denda dan penalti pelbagai kesalahan hutan,” katanya.

oleh: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

 

Leave a comment