DUN Pahang | 5 Elemen dalam #MajuTerusPahang untuk memacu hala tuju ke arah negeri maju.

DUN Pahang | 5 Elemen dalam #MajuTerusPahang untuk memacu hala tuju ke arah negeri maju.

DUN PahangMaju Terus Pahang, ianya adalah satu “tagline” yang bertujuan untuk membawa Negeri Pahang menjadi sebuah negeri yang berdaya saing serta mampu berdikari dengan sumber ekonomi yang mampan, pengurusan sumber dan pentadbiran yang efisien dalam suasana yang aman bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat yang berbilang kaum.

Ia juga merupakan satu slogan yang digunapakai oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy sejak mula memegang tampuk kempimpinan Kerajaan Negeri.

Di dalam pergulungan beliau bagi sesi DUN Pahang kali ke-14 ini, beliau menjelaskan Maju Terus Pahang ini perlu dicapai dengan berteraskan lima (5) teras utama iaitu :-

Kemajuan Perpaduan Dikalangan Masyarakat Berbilang Kaum

Perpaduan kaum merupakan asas penting kepada pembangunan sesuatu masyarakat dan negara. Justeru itu, sebagai negeri yang berhasrat mencapai kemajuan, pengukuhan perpaduan antara kaum di Negeri Pahang perlu diperkasakan. Amatlah signifikan bagi setiap kaum memahami dan menghormati antara satu sama lain serta saling menerima perbezaan.

Kerajaan Negeri Pahang akan memastikan semua lapisan kaum dan masyarakat di Negeri Pahang diberi layanan yang adil dan saksama. Semua lapisan kaum akan mendapat akses yang sama terhadap segala bantuan dan perkhidmatan daripada pihak Kerajaan.

Semua kaum hidup ibarat abang dan adik di negeri pahang yang bertuah ini. Apabila perpaduan ini dapat dicapai, maka urusan pembangunan negeri akan berjalan dengan lebih lancar dan berkesan.

Kemajuan Ekonomi Berasaskan Pertanian Dan Penambahan Nilai

Sektor pertanian adalah antara pemacu utama kemajuan dan pembangunan negeri pahang.

Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri pahang akan terus berusaha memajukan sektor pertanian. melalui jawatankuasa pertanian, industri asas tani dan bioteknologi negeri pahang dan agensi-agensi yang berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) beliau menyeru agar terus mengembeling idea bagi meningkatkan penghasilan dan pengeluaran hasil pertanian di Negeri Pahang melalui penglibatan secara aktif dalam aktiviti hiliran bagi produk pertanian sedia ada seperti sawit, produk-produk tenusu dan buah-buahan.

Ekonomi berasaskan pertambahan nilai atau “value added” ini boleh dicapai melalui input teknologi dan kaedah pemasaran yang cekap. Penggunaan teknologi seperti yang digunakan di Negara Eropah perlu diberi perhatian agar produktiviti sektor pertanian boleh dipertingkatkan.

Kemajuan Berasaskan Keilmuan

Pembangunan modal insan menjadi teras kepada tiang seri pembangunan sesebuah masyarakat. Sesebuah negeri hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila disokong oleh rakyat yang berilmu. Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberi penekanan kepada aspek pendidikan dan melahirkan masyarakat yang berilmu.

Dalam aspek ini, Yayasan Pahang akan terus diperkasa dan akan terus menyumbang kepada pembangunan modal insan anak-anak di negeri pahang melalui pemberian biasiswa, pinjaman, bantuan dan sebagainya bagi memberi peluang seluas-luasnya kepada anak Negeri Pahang menimba ilmu dan seterusnya menjadi teras kepada pembangunan Negeri Pahang itu sendiri.

Yayasan Pahang selama ini bermula daripada tahun 1983 hingga 2019 telah memperuntukan peruntukan yang besar sebanyak rm1.2 billion. Melalui #Maju Terus Pahang ini Kerajaan Negeri Pahang akan memastikan bantuan-bantuan pendidikan ini bukan sahaja diteruskan malah kita akan usahakan untuk ditambah dan diluaskan skopnya supaya lebih ramai rakyat Pahang boleh mendapat manfaat.

Kemajuan Berasaskan Teknologi Baharu

Kemajuan Teknologi akan meningkatkan keupayaan produktiviti Negeri sama ada daripada segi teknologi industri mahupun digital. Ia juga mampu menjadikan masyarakat Negeri ini lebih berdaya saing dan sentiasa peka dengan perkembangan dan peredaran dunia semasa.

Melalui kemajuan teknologi, masyarakat Negeri Pahang tidak akan ketinggalan dalam arus permodenan selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

Revolusi Industri 4.0 merupakan revolusi digital dengan teras utamanya melibatkan kecerdasan buatan atau ‘artificial intelligence’ (a.i).

Menerusi teknologi ini akan mampu menjadikan masyarakat di negeri ini sebagai masyarakat yang maju.

Bagi melaksanakan hasrat untuk menuju ke arah ekonomi digital dan mengambil peluang hasil baru daripada aktiviti berkaitan teknologi hijau, Kerajaan Negeri akan menubuhkan dua (2) jawatankuasa kerja yang baharu di peringkat negeri, berkaitan dengan ekonomi digital dan teknologi hijau.

Kemajuan Berasaskan Kepercayaan Agama & Moral

Dalam rangka meningkatkan kemajuan Negeri Pahang, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai dan akhlak yang kukuh, murni dan luhur. Penghayatan nilai-nilai akhlak yang tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk.

Ia juga akan menjadikan bangsa itu lebih dihormati dan disegani yang dengan itu, kemajuan ekonomi dan teknologi negeri akan berjalan selari dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat yang berbilang kaum.

Disamping itu, bagi mencapai kemajuan moral, kadar jenayah mestilah dikurangkan. Tindakan tegas daripada pihak berkuasa mestilah digerakkan dalam menangani gejala sosial seperti perjudian, pelacuran dan LGBT.

Oleh Admin.

Leave a comment