DUN PAHANG: SALIRAN TIDAK SEMPURNA PUNCA TANAH RUNTUH DI GENTING HIGHLANDS

DUN PAHANG: SALIRAN TIDAK SEMPURNA PUNCA TANAH RUNTUH DI GENTING HIGHLANDS

Dun Pahang | 19 Nov- Laporan awal kejadian tanah runtuh di Jalan Genting-Amber Court di  Genting Highlands, Bentong pada 5 November lalu dipercayai berpunca daripada sistem saliran tidak sempurna.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, namun sehingga kini pihaknya masih menunggu laporan terperinci daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai kejadian tanah runtuh berkenaan.

“Kerajaan Negeri sentiasa memastikan penguatkuasaan dilakukan supaya penyelenggaraan cerun termasuk dari segi kebersihan longkang dan sistem saliran dilakukan dari semasa ke semasa.

“Tetapi setakat ini, saya belum mendapat laporan penuh daripada Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR berkaitan kejadian tanah runtuh, namun laporan awal disebabkan sistem saliran tidak sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB. Puan Young Syefura Othman pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

YB. Puan Young Syefura ingin tahu mengenai tindakan yang  dilakukan Kerajaan Pahang untuk mengelak berulangnya kejadian tanah runtuh di Genting Highlands.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 200 kakitangan serta penghuni di sebuah hotel dan pangsapuri terperangkap disebabkan tanah runtuh akibat hujan lebat di Jalan Genting-Amber Court di  Genting Highlands.

Difahamkan runtuhan tanah itu berlaku secara berperingkat bermula 5 petang, namun tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

oleh: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment