ECRL – Kerajaan Negeri sambut baik penggantungan untuk kaji semula kos, bukan pembatalan

ECRL – Kerajaan Negeri sambut baik penggantungan untuk kaji semula kos, bukan pembatalan


Pejabat Menteri Besar,Wisma Sri Pahang, Kuantan – Kerajaan Negeri menyambut baik ucapan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Encik Lim Guan Eng khususnya tentang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pelaksanaannya, sementara kajian ke atas kos dilakukan.

Bahawa projek ini tidak terus dibatalkan sebaliknya digantung sahaja katanya, menunjukkan projek ini masih lagi berdaya-maju, yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

“Harapan Kerajaan Negeri ialah agar kajian ini dapat dilaksana dan disiapkan segera, supaya penyambungannya kembali dapat berjalan lancar dan siap dalam tempoh yang sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir telah membuat kenyataan tentang pembatalan projek-projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) semasa beliau dalam lawatan lima (5) hari di China.

Namun demikian, Dato’ Sri Wan Rosdy telah membuat rayuan agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula keputusan.

Beliau berkata, selain menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan, pembatalan itu turut merugikan ketiga-tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan yang mana kerj-kerja awal pelaksanaanya telahpun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja pengorekan terowong bagi laluan ECRL telahpun bermula,” jelas beliau.

“Malah, kerja-kerja untuk pengambil-alihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah-tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” jelas beliau lagi.

Sumber: Khabarpahangl

Leave a comment