Girls Power – Dua Pelajar tajaan YP Wajar Dijadikan Contoh

Girls Power – Dua Pelajar tajaan YP Wajar Dijadikan Contoh

Kuantan, 20 Mac- Seorang pelajar yang baik pastinya mengidamkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan mahupun pelajaran.

Tambahan pula, hasrat untuk membanggakan ibu bapa pastinya pemangkin semangat untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga memperolehi sijil atau pertauliahan yang diimpikan.

Terkini, dua pelajar perempuan anak jati Pahang tajaan Yayasan Pahang (YP) telah berjaya menakluki dunia apabila mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Disember 2018.

Kedua-dua pelajar ini telah mendapat biasiswa YP melalui Skim Pelajar Cemerlang (SPC YP) bagi program Peneraju Professional Akauntan Muda (CAT-ACCA) dan IPAC Education bagi mengikuti pengajian di Intec Education College, Shah Alam.

Jom kita kenal dua orang pelajar tersebut!

1. Amira Binti Abdullah

Beliau merupakan anak kelahiran Temerloh yang juga merupakan bekas pelajar di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Siapa sangka, beliau merupakan seorang hafizah yang telah menghafaz 30 juzuk Al-Quran serta mendapat keputusan 11A pada peperiksaan SPM 2013.

Antara tips kejayaan Amira dalam kehidupan yang telah beliau kongsikan supaya menjadi inspirasi kepada pelajar lain adalah selalu mengenal pasti teknik khas untuk sesuatu matapelajaran dan juga jangan memandang rendah kepada kekuatan doa.

Amira telah berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan kedua dunia dalam subjek Audit and Assurance dengan markah 81 peratus dalam peperiksaan ACCA Disember 2018.

2. Wan Nur Syazana Bt Wan Nor Zakaria

Nur Syazana juga adalah anak kelahiran Temerloh serta mendapat keputusan 11A pada peperiksaan SPM nya.

Beliau pernah menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang, Selangor dan turut mendapat tajaan daripada Yayasan Pahang (YP) bagi program CAT ACCA.

Nur Syazana telah berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan kelima di dunia dalam subjek Financial Reporting dalam peperiksaan ACCA Disember 2018.

Semoga anda berdua terus sukses dan dijadikan contoh kepada pelajar-pelajar lain untuk berjaya dalam pelajaran.

Oleh: A.

One Reply to “Girls Power – Dua Pelajar tajaan YP Wajar Dijadikan Contoh”

Leave a comment