Hanya Dua Mamak di Pahang Ada Sijil Halal

Hanya Dua Mamak di Pahang Ada Sijil Halal

Kuantan – Daripada 300 restoran termasuk di kopitiam di Pahang, hanya 2 restoran mamak yang mempunyai sijil Halal.

Dua restoran mamak tersebut adalah Nasi Vanggey di Teluk Sisek dan Taj Makmur di Jalan Tun Ismail manakala selebihnya masih tiada sijil halal termasuklah kedai-kedai kopitiam.

Walaubagaimanapun, kedai rangkaian White Coffee telah memperoleh pensijilan halal.

Timbalan Pengarah Jabatan Agam Islam Pahang (JAIP), Datul Mohd Ghazali Abd Aziz berkata, pihaknya akan sentiasa memantau dan menyeru semua restoran mamak di negeri ini untuk memohon pensijilan halal.

“Kita sentiasa pantau dan menyeru semua restoran mamak di negeri ini memohon pensijilan halal dengan cara turun padang ke restoran berkenaan untuk berkempen, namun mereka masih enggan dan kurang peka dengan seruan ini memandangkan pelanggan mereka tetap ramai pada bila bila masa. Bahkan orang Melayu Islam juga ramai yang berkunjung ke sana.

“Saya kira sudah sampai masanya orang Islam menyedari hal ini dan biar mereka ambil pensijilan halal dulu,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Sijil Halal oleh JAIP kepada Dewan Makan Maahad Tahfiz Yayasan Pahang di sini hari ini.

Maahad Tahfiz Yayasan Pahang merupakan dewan makan pertama di negeri ini memperoleh sijil halal.

Menurut beliau lagi, pengusaha restoran boleh membuat permohonan sijil halal melalui JAIP yang mengenakan cas yang lebih rendah berbanding konsultan luar.

Cas keseluruhan pensijilan halal ini hanya serendah RM200 setahun manakala RM1000 bagi restoran yang berpendapatan RM50 juta setahun.

Beliau turut berkata, pihaknya akan terus memantau bersama pihak jabatan berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) demi meningkatkan kesedaran terhadap pensijilan halal ini.

Oleh: Admin

Sumber: SinarHarian

Leave a comment