Hari Tanpa Beg Plastik pada Hari Sabtu dan Ahad di Pahang

Hari Tanpa Beg Plastik pada Hari Sabtu dan Ahad di Pahang

KUANTAN 27 Jun – Pahang akan melaksanakan hari tanpa beg plastik pada setiap Sabtu dan Ahad di semua premis perniagaan mulai 1 Julai 2019.

YAB Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata selain daripada beg plastik, larangan itu juga melibatkan penyedut minuman plastik dan bekas makanan polisterin.

Sebagai permulaan, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan kesedaran kepada pemilik premis perniagaan tentang kepentingan mematuhi peraturan itu dan buat sementara waktu tiada kompaun akan dikenakan.

Alternatif kepada larangan ini adalah pembeli membawa beg sendiri dari rumah untuk membeli-belah khusus pada hari minggu.

Jelas beliau lagi,mungkin para peniaga boleh menyediakan beg plastik biodegradasi pada Isnin hingga Jumaat sebelum arahan sifar penggunaan beg plastik dapat dilaksanakan di negeri ini,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna di Tunas Manja Group (TMG) Mall Tanjung Lumpur.

Penggunaan produk biodegradasi ini, juga boleh mengurangkan jumlah sisa pelupusan sampah dan menjimatkan kawasan tapak pelupusan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, negeri ini menghasilkan antara 90 hingga 1,200 tan metrik sisa buangan sehari di tapak pelupusan sampah Jabor-Jerangau dan di seluruh Pahang.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, dalam hal berkenaan, kerajaan negeri mahu perubahan tersebut dilakukan secara beransur-ansur dan memberi ruang kepada peniaga serta pengguna untuk mempraktiskan amalan bebas penggunaan beg plastik.

“Pada peringkat awal, mungkin para pengguna agak terganggu dengan arahan ini tetapi usaha dan matlamat yang baik ini perlu diteruskan bagi kebaikan generasi akan datang,” ujarnya.

“Ini merupakan angka yang tinggi. Jika tiada usaha untuk penggunaan produk mesra alam, maka lambat laun memberi kesan kepada alam sekitar,” katanya.

Langkah ke arah sifar penggunaan plastik itu juga, menurut Wan Rosdy, adalah salah satu usaha kerajaan negeri membantu menjaga alam sekitar dan mengelakkan pencemaran yang berpunca daripada penggunaan plastik tidak terkawal.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Abdul Rahim Muda.

Sumber – UTUSAN ONLINE

 

Leave a comment