Isu Pengambilan Kerja Asing: Cadangan Mengejutkan-Wan Rosdy

Isu Pengambilan Kerja Asing: Cadangan Mengejutkan-Wan Rosdy

Dato’ Sri Wan Rosdy disambut ketika hadir di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub.

RAUB – Kerajaan negeri menyifatkan cadangan pengambilan pekerja asing dari Afrika sebagai mengejutkan dan dikhuatiri menimbulkan pelbagai masalah lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, adalah lebih baik kerajaan meneruskan pengambilan pekerja asing dari negara luar sedia ada seperti Indonesia dan Bangladesh.

“Tidak pernah berlaku lagi cadangan seperti ini, ia adalah cadangan julung kali dan mengejutkan kerajaan negeri.

“Elok diberi keutamaan kepada pekerja-pekerja dari negara sedia ada seperti Indonesia dan Bangladesh kerana mereka telah memberikan perkhidmatan yang baik,”katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Raub di Dewan Jubli di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram; Ketua Pemuda UMNO bahagian, Fadzli Mohamad Kamal; Ketua Wanita UMNO Raub, Zulriyaini Yahya; Ketua Puteri UMNO Raub, Umi Hanisah Mokhtar.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kulagesaran yang dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja dalam sektor perladangan pada masa akan datang.

Ujar Kulasegaran, cadangan itu berikutan pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi datang untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal. -UTUSAN ONLINE

Sumber: Utusan Online

Leave a comment