JUMLAH MANGSA BANJIR DI ROMPIN TERUS MENINGKAT

JUMLAH MANGSA BANJIR DI ROMPIN TERUS MENINGKAT

Oleh: Shahrinnahar Latib

KUANTAN 15 DISEMBER, 2019: Jumlah mangsa banjir di daerah Rompin terus meningkat dengan mencatatkan seramai 681 mangsa daripada 176 keluarga yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA)  Encik Zainal Yusoff berkata, PPS Sekolah PPS SK Pianggu terus mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 263 orang daripada 76 keluarga, diikuti PPS Dewan Kampung Setajam (159 orang, 43 keluarga), SK Sarang Tiong (66 orang, 12 keluarga) dan Dewan Angkat Berat Rompin (42 mangsa, 10 keluarga).

“Selain itu, PPS Balai Raya Kampung Sepayang menempatkan seramai 35 mangsa daripada sembilan keluarga, Balai Raya Kampung Janglau (34 mangsa, 6 keluarga), Balai Raya Bukit Lepas (33 mangsa, 8 keluarga), Dewan Telok Gading (26 mangsa, 8 keluarga) dan Surau Kampung Perpat (23 mangsa, 4 keluarga),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga jalan di Rompin ditutup kepada kenderaan sejak 11 malam tadi iaitu Jalan Kampung Denai, Jalan Kampung Sungai Mok dan Jalan Lubuk Batu.

“Rompin mula dilanda banjir sejak semalam, ekoran hujan lebat yang berlarutan sejak Jumaat menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air, selain berlaku limpahan sungai.

“Pihak berkuasa juga akan memantau keadaan semasa berikutan hujan berterusan dan meminta orang ramai mengikuti nasihat diberikan pihak berkuasa,” katanya.

YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Bin Haji Hussain menyampaikan bantuan dari Kerajaan Negeri semasa lawatan ke PPS.

Sementara itu, ​Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia ,Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga ADUN Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Bin Haji Hussain pagi ini terus melawat PPS dan menyampaikan sumbangan dari Kerajaan Negeri Pahang bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

Sumber: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment