JUMLAH MANGSA BANJIR MENINGKAT KEPADA 1,022, TEMERLOH DAERAH TERBARU DILANDA BANJIR

JUMLAH MANGSA BANJIR MENINGKAT KEPADA 1,022, TEMERLOH DAERAH TERBARU DILANDA BANJIR

Oleh Shahrinnahar Latib

KUANTAN, 16 DISEMBER 2019: Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat kepada 1,022 mangsa membabitkan 259 keluarga di di daerah Rompin dan Temerloh setakat jam 12 tengah hari.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, semua mangsa ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) dan membabitkan 16 buah kampung.

Beliau berkata, Temerloh lokasi terbaru dilanda banjir hari ini selepas 13 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Belia Kampung Paya Luas, pagi tadi.

“Di Rompin, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pianggu merekod mangsa paling tinggi iaitu seramai 284 mangsa dengan 81 keluarga, diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Sarang Tiong (208 mangsa, 44 keluarga), Dewan Kampung Setajam (187 mangsa, 51 keluarga); Balai Raya Kampung Rekoh (119 mangsa, 32 keluarga) dan Dewan Angkat Berat (44 mangsa, 11 keluarga).

“Selain itu, PPS Balai Kampung Sepayang (40 mangsa, 10 keluarga); Balai Raya Bukit Lepas (33 mangsa, lapan keluarga), Dewan Teluk Gading (28 mangsa, sembilan keluarga), Balai Raya Kampung Janglau (34 mangsa, enam keluarga) dan Balai Raya Lintang (26 mangsa, empat keluarga),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, enam jalan telah ditutup akibat dinaiki air iaitu Jalan Teja, Jalan Redan, Jalan Kasturi, Jalan Kempas dan Jalan Jati yang kesemuanya terletak di Kampung Kasing serta jalan Kurnia-Bukit Lepas.

“Pihak berkuasa juga akan memantau keadaan semasa berikutan hujan berterusan dan meminta orang ramai mengikuti nasihat diberikan pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment