KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN RASMI PUSAT HEMODIALISIS YASA

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN RASMI PUSAT HEMODIALISIS YASA

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah di Pekan.

Turut berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah ini dimiliki sepenuhnya oleh  Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dan merupakan pusat rawatan yang ketiga ditubuhkan oleh yayasan itu selepas pembukaan Pusat Hemodialisis YASA yang pertama di Cheras dan Setiawangsa di Wilayah Persekutuan.

Pusat hemodialisis ini dilengkapi dengan 12 mesin dialisis dan menerima pesakit kurang berkemampuan di bawah tajaan YASA dan subsidi daripada badan-badan Kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan majikan.

Keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda berdua terhadap pesakit-pesakit buah pinggang kronik dan keperluan perkhidmatan hemodialisis kepada mereka yang tidak berkemampuan, khususnya dari golongan M40 dan B40, telah mendorong kepada penubuhan pusat-pusat hemodialisis bagi membantu meringankan bebanan kewangan golongan berkenaan.

Berangkat sama ke majlis perasmian ialah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 11.00 pagi disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.

Hadir sama ialah YBhg. Sahibus Samahah Mufti Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman, YBhg. Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli dan YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH Dato’ Ahmad Hairi Hussain.

Seri Paduka Baginda berdua menyeru agar lebih ramai individu dan pihak swasta untuk tampil membantu golongan sasar ini mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan, terutama ketika rakyat masih lagi terkesan impak pandemik COVID-19.

Seri Paduka Baginda berdua turut menasihati rakyat untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal pemakanan harian dan mengelakkan produk-produk yang boleh memudaratkan buah pinggang.

Usai majlis perasmian, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pesakit-pesakit yang sedang menjalani rawatan di pusat hemodialisis berkenaan. – PAHANGMEDIA

Leave a comment