Kejuaraan Silat Kebangsaan Kali Ke-19

Kejuaraan Silat Kebangsaan Kali Ke-19

 

YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman pada gimik acara Perasmian Kejuaraan Silat Kebangsaan Kali Ke-19. Turut mengiringi baginda, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam serta Setiausaha Agong Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang) Datuk Osman Nok.

Kuantan: Seramai 610 pesilat yang terdiri daripada 21 kontinjen telah menyertai acara Kejuaraan Silat Kebangsaan kali ke-19 yang telah diadakan di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) menyaksikan Pahang selaku tuan rumah.

Antara pasukan yang turut menyertai kejuaraan adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersaing bagi merebut 26 pingat emas yang dipertandingkan.

Pada acara pembukaan kejuaraan ini, majlis telah diserikan oleh YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah berkenan mencemar duli bagi merasmikan pembukaan Kejuaraan Silat Kebangsaan kali ke-19 ini.

Turut hadir pada majlis pembukaan tersebut, Setiausaha Agung Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Yang Dipertua Pesaka Pahang Datuk Sohaimi Mohamed Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Presiden Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata kejohanan ini turut bertujuan bagi mencungkil bakat baharu kerana ia disertai ramai pesilat berbakat dari seluruh negara.

“Kita berharap dapat mencari bakat baharu yang mampu membawa pulang pingat emas kepada negara pada kejohanan antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Kali ini atlet yang datang begitu ramai, jadi kita percaya akan dapat mencari 18 orang pesilat kebangsaan yang berbakat untuk membawa cabaran negara,” katanya kepada pemberita semasa ditemubual.

Beliau turut memaklumkan, 18 atlit yang menjuarai acara ini akan berentap dengan pasukan elit yang mana turut disertai juara dunia, Mohd Al Jufferi Jamari bagi melayakkan mereka mewakili negara di peringkat dunia.

Acara yang diadakan selama empat hari yang bermula pada 26-29 Mac lalu telah dijuarai oleh kontinjen Selangor yang meraih 17 pingat, masing-masing lima pingat emas, tujuh perak, dan lima gangsa.

Oleh: Admin

Leave a comment