Keladi Kemahang:Cara Memasak Dan Pantang Larang

Keladi Kemahang:Cara Memasak Dan Pantang Larang

Keladi Kemahang merupakan sejenis tumbuhan ubi daripada keluarga araceae dan kebiasaanya tumbuh di kawasan agak lembap dan subur.

Tumbuhan ini banyak didapati di Pahang khususnya di laluan Benta Jerantut iaitu di Kampung Kemahang Benta, kawasan kampung berhampiran Budu, Tanjung Besar, Chat, Peruang dan sekitarnya.

Keladi ini juga amat popular dalam kalangan masyarakat di Benta dan Lipis dan ia mudah didapati di pekan sehari Benta dan Lipis.

Bagi orang Pahang, sebut sahaja Keladi Kemahang, pasti ada yang tahu yang tumbuhan ini begitu sinonim dengan maskan gulai asam tempoyak.

Namun, sebelum memasak keladi ini, anda perlu mengetahui terlebih dahulu pantang larang mengenainya yang antaranya;

  • Tidak boleh boleh bertindih bayang semasa mengambilnya.
  •  Perdunya dicabut terus daripada tempatnya.
  • Cara mengambilnya juga hanya satu haluan dan tidak boleh berpatah balik.
  • Elakan mengambil keladi kemahang yang berbunga sebab biasanya ia gatal.
  • Pilih yang muda sahaja.
  • Keladi kemahang tidak boleh digoreng.

Menariknya, hanya Keladi Kemahang yang tumbuh dikawasan Kampung Kemahang, Benta, dan sebelah Ulu Cheka, Jerantut sahaja yang tidak gatal. Jadi pastikan ia original.

Petua untuk memasak keladi kemahang

Bagi mengelakkan daripada rasa gatal anda boleh meletakkan satu sudu kecil minyak masak atau beberapa ulas beras.

Selain daripada itu, anda boleh mencelur (rebus) Keladi Kemahang sekejap sahaja dengan air panas.

Kemudian ditos airnya atau rendam dengan air bergaram sebelum dimasak.

Resepi Asam Tempoyak Keladi Kemahang

BAHAN-BAHAN:

  • 3-4  pokok Keladi Kemahang muda
  • 3 sudu makan tempoyak
  • 6 pucuk daun kesum
  • 1 kuntum bunga kantan
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula secukupnya
  • 1 keping asam gelugor | jika tempoyak kurang masam
  • Sedikit ikan bilis

BAHAN KISAR:

  • 10 biji cili padi
  • 3cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Buangkan kulit ari batang keladi dan potong 4cm. Isi keladi buang kulit dan potong dadu.
  2. Masukkan dalam periuk bahan kisar, asam tempoyak dan air, kemudian kacau rata.
  3. Masukkan batang keladi, ikan bilis dan renehkan di atas api sederhana.
  4. Setelah isi keladi empuk dan batangnya layu, masukkan asam keeping jika kurang masam.
  5. Seterusnya masukkan daun kesum, bunga kantan dan perasa dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Tutup api dan sedia dihidangkan panas-panas.

Sumber resepi: https://www.rasa.my/asam-tempoyak-batang-keladi-yang-wouu-tak-cuba-rugi/

Selamat mencuba.

Oleh: Admin

 

Leave a comment