Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 7 Juta Untuk JKKK di Pahang

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 7 Juta Untuk JKKK di Pahang

JERANTUT, 29 JANUARI 2020 : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM7 juta untuk membiayai elaun dan kemudahan 542 Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) di seluruh negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata peruntukkan yang merangkumi elaun dan kemudahan diperoleh setiap JKKK dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Elaun-elaun yang diberi dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri ini, keseluruhannya ialah kira-kira RM7 juta setahun, yang masih mampu Kerajaan Negeri tampung ekoran kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Pemimpin Masyarakat Daerah Jerantut Serta Pelancaran Penyerahan Watikah Lantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Kepada JKKK Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, YH. Dato’ Mohd. Zakaria Ibrahim; Pengarah Tanah dan Galian Pahang, YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Yang DiPertua Majlis Daerah Jerantut, YM. Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah memutuskan untuk memberi sumbangan ‘one-off’ dengan nilai keseluruhan RM2.7 juta kepada semua JKKK.

“Sebanyak RM5,000 akan diberikan kepada setiap 542 JKKK daripada 10 daerah yang dengan itu nilai keseluruhanya ialah kira-kira RM2.7 juta.

“Daerah Jerantut pada petang ini, menerima RM290,000 bagi 58 buah JKKK,Temerloh, RM450,000 (90 JKKK); Lipis, RM405,000 (81 JKKK); Pekan, RM360,000 (72 JKKK); Kuantan, RM325,000 (65 JKKK); Maran, RM245,000 (49 JKKK); Raub, RM235,000 (47 JKKK); Rompin, RM165,000 (33 JKKK); Bentong, RM135,000 (27 JKKK); dan Bera, RM100,000 (20 JKKK),” katanya.

Beliau berkata penubuhan JKKK di negeri ini berkuat kuasa pada 1 Januari lepas bertujuan memberi sokongan kepada dasar atau agenda pembangunan negeri, menghubungkan rakyat dengan jabatan Kerajaan Negeri, dan bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menangani isu dan permasalahan rakyat terutamanya di peringkat akar umbi.

“542 buah JKKK yang telah diwujudkan kembali dengan tempoh pelantikan ahli-ahlinya ialah selama dua tahun, bermula 1 Januari 2020 dan berakhir pada 31 Disember 2021.

“Tempoh ini boleh dilanjutkan atau diluputkan oleh saya sebagai Menteri Besar, atas syor atau perakuan oleh Jawatankuasa Pemilihan Daerah melalui Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Disediakan Oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP).

#MajuTerusPahang
#Pahang1st
#KerajaanNegeriPahang
#PahangGo

Leave a comment