Kerajaan Negeri Pahang sumbang RM22.4 juta sepanjang 2019

Kerajaan Negeri Pahang sumbang RM22.4 juta sepanjang 2019

Oleh: Fansurina Abdullah

Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 Disember 2019 – Kerajaan Pahang membelanjakan sebanyak RM22.4 juta sepanjang tahun 2019 bagi membantu rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut termasuklah agihan bantuan untuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), pelajaran dan rawatan kesihatan bagi seluruh rakyat di negeri ini.

Menurutnya, bantuan yang disumbangkan menerusi NGO pula bertujuan untuk membiayai aktiviti dan program yang dianjurkan oleh badan-badan berkenaan.

“NGO di negeri Pahang ini memang aktif menganjurkan pelbagai program dan kursus,” beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Bencana Negeri Pahang di perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB En. Abd Rahim Muda.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, inisiatif penubuhan Skuad Bencana ini merupakan idea yang sangat baik dalam membantu dan melengkapi agensi sedia ada seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Lambaian mesra Tok Wan ketika acara ‘Flag Off’ Skuad Bencana Banjir Negeri Pahang.

“Skuad Bencana ini tidak boleh mengambil alih tugas agensi yang sedia ada seperti polis dan bomba, sebaliknya perlulah membantu mereka ketika bencana berlaku,” katanya.

Dalam ucapannya, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, sukarelawan harus sentiasa bersiap siaga untuk menyumbang tenaga dan kepakaran dalam membantu mangsa ketika ditimpa bencana sama ada kebakaran, banjir atau apa sahaja malapetaka.

Bantuan juga perlu diselaraskan dan dilaksanakan mengikut pengetahuan dan kepakaran masing-masing supaya tidak membahayakan mangsa dan diri sukarelawan itu sendiri.

Skuad bencana negeri itu melibatkan seramai 421 peserta sukarelawan dengan 139 pelbagai kenderaan dari 48 agensi dan pertubuhan di seluruh negeri itu.

Disediakan oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang.

Leave a comment