KERAJAAN NEGERI SUMBANG 180 BEG TIDUR KEPADA PENGGERAK MASYARAKAT ORANG ASLI

KERAJAAN NEGERI SUMBANG 180 BEG TIDUR KEPADA PENGGERAK MASYARAKAT ORANG ASLI

Oleh: Ain Nadhirah Basha

Foto: Muhammad Muslimi Abd. Rahim

TEMERLOH, 15 Disember 2019 : Kerajaan Negeri memberi sumbangan sebanyak 180 beg tidur kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) di negeri ini untuk memudahkan mereka bertugas terutamanya ketika berada di kawasan pedalaman.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sumbangan beg tidur ini diberikan kepada 60 PMOA yang ada.

Beliau berkata, penggerak PMOA ini akan dibekalkan tiga beg tidur setiap seorang bagi kegunaan mereka ketika bertugas di kampung-kampung Orang Asli terutamanya di kawasan pedalaman.

“Beg tidur ini adalah sumbangan kecil oleh Kerajaan Negeri kepada para penggerak di negeri ini untuk membantu memudahkan kerja mereka.

“Jadi sedikit sumbangan dari kita kepada penggerak-penggerak ini untuk membuat kerja-kerja murni, kerja dakwah dan mendekati Orang Asli serta memelihara mereka yang telah memeluk agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Moh Ke Sekolah Serta Penyampaian Bantuan Persekolahan Yayasan Pahang Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di Kuala Krau di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha; Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin dan Ketua Pegawai Korporat Yayasan Pahang, YBhg. Encik Airulamri Amran.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Ukhwah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Puan Naemah Fairus Mohd Jelani berkata, beg tidur ini amat diperlukan oleh penggerak PMOA.

“Setiap penggerak akan menjaga dua kampung dan kebiasaannya mereka akan masuk ke kampung di bawah jagaan mereka selama dua hingga tiga hari seminggu untuk mengajar agama kepada masyarakat Orang Asli dan menguruskan hal-hal berkaitan agama.

“Jadi, beg tidur ini sangatlah diperlukan oleh para penggerak terutamanya bila mereka masuk ke kampung di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai surau atau kawasan untuk mereka menumpang tidur,” katanya.

Kira-kira 1,000 penduduk hadir pada majlis ini yang turut diadakan acara berkhatan, gunting rambut dan penyerahan sumbangan negeri serta penyerahan buku dan sijil kepada 14 sekolah kebangsaan dalam DUN Kerdau.

Sumber: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment