KERAJAAN NEGERI WUJUD JKKK JIKA KERAJAAN PERSEKUTUAN WUJUD MPKKP

KERAJAAN NEGERI WUJUD JKKK JIKA KERAJAAN PERSEKUTUAN WUJUD MPKKP

KUANTAN 4 DISEMBER 2019 : Kerajaan Negeri Pahang akan menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) sekiranya Kerajaan Persekutuan kekal dengan keputusan mereka mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) tahun hadapan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan ini dibuat untuk menjaga kemakmuran penduduk kampung.

“Kita sudah memberitahu Kerajaan Persekutuan, kalau MKKKP ditubuhkan, Kerajaan Negeri Pahang akan tubuhkan JKKK. Jadi, MPKKP akan ditubuhkan 1 Januari, maka kita akan tubuhkan JKKK pada 1 Januari juga.

“Saya masih berharap MPKKP ini tidak jadi ditubuhkan kerana saya melihat sekiranya MPKKP ini ditubuhkan, di dalam satu kampung ada dua pertubuhan, sedangkan kampung ini tidak ramai penduduk dan ini akan berlaku sedikit sebanyak percanggahan pendapat dan pecah belah dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada 542 bakal Pengerusi JKKK seluruh negeri Pahang di Majlis Transformasi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) 2020 dan Amanat YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Jubli Perak Bentong di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, YH. Dato’ Mohd. Zakaria Ibrahim, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan pemimpin PAS.

Beliau berkata, penubuhan JKKK ini adalah langkah awal kerajaan negeri bagi memudahkan urusan rakyat.

“JKKK ini ditubuhkan supaya memudahkan rakyat untuk menyalurkan apa jua sebarang aduan atau bantuan yang perlu mereka kemukakan kepada pihak berkaitan.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga memutuskan hanya akan menerima pakai tandatangan yang ditandatangani oleh Pengerusi JKKK sahaja. Ini adalah bagi tujuan memudahkan aliran pentadbiran supaya salurannya dapat dikenalpasti dan di mana yang perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan ini masih belum muktamad kerana jika kerajaan persekutuan menarik balik penubuhan MPKKP, maka kerajaan negeri tidak akan menubuhkan JKKK.

“Ini belum muktamad. Jika mereka teruskan, maka kita akan teruskan dan sebaliknya.

Tempoh penubuhan MPKKP juga masih berbaki 26 hari lagi, jadi macam-macam boleh jadi.

“Malah tidak mustahil jika MPKKP ini tidak jadi ditubuhkan,” katanya.

 

oleh: Ain Nadhirah Basha, Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment