Kira-kira 60% premis sudah patuhi syarat tulisan jawi.

Kira-kira 60% premis sudah patuhi syarat tulisan jawi.

Oleh: Fansurina Abdullah

Kuantan, 7 Jan- Kira-kira 60 peratus daripada 313 premis perniagaan di seluruh daerah ini mematuhi peraturan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan yang berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Puan Norkamawati Kamal berkata, daripada tinjauan yang dilakukan pihaknya, terdapat sekitar 35 hingga 40 peratus premis masih lagi belum mematuhi arahan berkenaan.

“Jadi kita telah kenakan kompaun kepada mereka kerana gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan dengan kadar RM250 bagi setiap kesalahan. Sehingga kini sebanyak 25 kompaun telah dikeluarkan.

“Penguatkuasaan ini akan berterusan dari semasa ke semasa sehingga akhir tahun sehingga semua premis di daerah Kuantan dapat mematuhi peraturan tersebut,” katanya kepada media pada Operasi Tulisan Jawi dan Lain-lain Kesalahan oleh MPK di sekitar Kuantan, pagi tadi.

Beliau berkata, operasi itu telah dijalankan sejak empat hari lalu bermula 2 Januari lalu dengan penglibatan seramai 67 anggota penguatkuasa melibatkan kawasan perindustrian dan premis perniagaan di daerah itu.

“Antara kawasan terlibat operasi berkenaan ialah Gebeng, sekitar bandar Kuantan, kawasan perindustrian Padang Lalang dan Jalan Gambang,” katanya.

Katanya, kebanyakan pengusaha premis yang gagal mempamerkan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan masing-masing memberikan alasan tidak sempat berbuat demikian.

“Antara alasan-alasan yang diberikan oleh pengusaha premis adalah ketiadaan kos kerana mahal untuk membuat papan tanda yang baharu. Pihak MPK telah memberikan kelonggaran pada peringkat awal perlaksanaan peraturan ini dengan membenarkan penggunaan pelekat untuk dilekatkan pada papan tanda sedia ada,” katanya.

Tambahnya, pihak pengiklan juga telah dimaklumkan tentang syarat-syarat perletakkan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan dan iklan bagi memastikan syarat dipatuhi.

Sumber: Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)

 

Leave a comment