KUTIPAN ZAKAT PAHANG MENINGKAT
Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang merekodkan peningkatan dalam kutipan zakat harta sebanyak RM178 juta tahun lalu berbanding RM158.2 juta tahun 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, YH Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, jumlah kutipan tahun lalu melebihi sasaran ditetapkan dan satu pencapaian membanggakan walaupun kempen zakat secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan PKZ.
“Kutipan zakat harta pada tahun 2021 adalah sebanyak RM178 juta berbanding dengan kutipan sebanyak RM158.2 juta pada tahun 2020.
“Kutipan pada tahun 2021 ini juga telah melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu RM170 juta dan ucapan tahniah ditujukan kepada PKZ serta kakitangan kerana telah berjaya meningkatkan kutipan zakat walaupun kempen zakat secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan secara meluas pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Anugerah Zakat, di Hotel Grand Darul Makmur.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebanyak 12 buah badan korporat menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM19.3 juta bagi tahun 2021.
Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Pengurus Besar PKZ Pahang, YH Dato’ Hj Halidan Md Daud.
Sementara itu, Dato’ Ahmad Hairi berkata kategori tertinggi zakat harta adalah daripada zakat pendapatan berjumlah RM86.6 juta daripada 75,710 orang pembayar.
“Kategori kedua terbesar pembayar zakat harta adalah daripada zakat perniagaan yang meliputi perniagaan-perniagaan kecil sehinggalah badan-badan korporat.
“Bagi prestasi agihan zakat pula, sepanjang tahun 2021 Malis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah mengagihkan zakat kepada golongan asnaf yang layak menerima sebanyak RM177.4 juta dengan jumlah penerima seramai 173,000 orang,” katanya.
Beliau berkata, antara penerima besar bantuan zakat bagi tahun lalu adalah Asnaf Fakir Miskin yang telah menerima sebanyak RM75 juta atau 126000 orang penerima.
“Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada tahun lalu, MUIP telah memperuntukkan RM15.3 juta melibatkan seramai 58135 penerima bagi membantu mereka yang terkesan ekonomi keluarga akibat hilang pekerjaan atau tidak boleh bekerja.
“MUIP juga telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM9 juta kepada mangsa banjir yang terkesan akibat banjir besar yang melanda negeri Pahang pada akhir tahun lepas,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada kepimpinan kerajaan negeri Pahang, khususnya Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Kerajaan Negeri kerana telah memastikan anak-anak syarikat yang berkait dengan kerajaan negeri (GLC negeri) seperti Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri, kumpulan PKPP dan lain-lain telah menyumbang jumlah zakat yang besar pada tahun ini. – PAHANGMEDIA