LEBIH RM1 JUTA BANTUAN UNTUK MASJID DAN SURAU TERJEJAS BANJIR

LEBIH RM1 JUTA BANTUAN UNTUK MASJID DAN SURAU TERJEJAS BANJIR

Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memperuntukkan lebih RM1 juta bantuan kepada lebih 90 masjid dan surau yang terjejas banjir di negeri ini yang diperoleh melalui sumbangan daripada beberapa agensi termasuklah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan tersebut akan diagihkan kepada semua masjid dan surau terlibat banjir secara berperingkat mengikut kawasan masing-masing.

 

“JAIP telah membuat siasatan dan ternyata masjid-masjid yang terkesan ini melibatkan kerugian lebih RM2 juta dan alhamdulilah berkat kerjasama daripada semua pihak, NGO, Kerajaan Negeri, jabatan agama dan pihak-pihak masjid sendiri dapat membantu masjid-masjid ini.

 

“Kerajaan Negeri sendiri telah berjaya mendapatkan sejumlah kewangan lebih RM1 juta dan ini akan diagihkan kepada masjid dan surau mengikut jenis kerosakan yang dialami,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jubah dan Imamah serta Bantuan Khas Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

 

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda, Sahibus Samahah Mufti Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohamed Jaafar dan Pengarah JAIP, YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz.

 

Selain bantuan Khas Pasca Banjir kepada Masjid dan Surau yang terjejas banjir, turut disampaikan ialah sumbangan pengurusan jenazah COVID-19 Negeri Pahang, sumbangan khas kepada Pelaksana Garis Panduan Hal Ehwal Islam Negeri Pahang ketika pandemik COVID-19 serta penyerahan Jubah dan Imamah kepada pegawai agama islam daerah.

 

Pada sebelah pagi telah diadakan diskusi ilmiah dengan dua orang panel jemputan iaitu Syiekh Jamil Melhi Ar-Rubadi dan Syiekh Mukhtar Hashim Jamil yang membincangkan pengurusan masjid dan surau di Pahang serta isu berkaitan akidah. – PAHANGMEDIA

Leave a comment