MANGSA KEBAKARAN TARIK NAFAS LEGA TERIMA BANTUAN SEGERA DARI MB PAHANG

MANGSA KEBAKARAN TARIK NAFAS LEGA TERIMA BANTUAN SEGERA DARI MB PAHANG

Oleh: Mahathir Ali

KUANTAN, 17 DISEMBER 2019, Seorang penjual sayur di Pasar Besar kuantan, Musa bin Mamat yang ditimpa musibah kebakaran rumahnya baru-baru ini menarik nafas lega hari ini apabila menerima bantuan segera sumbangan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.

Bantuan segera itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang yang juga merupakan ADUN Lepar, YB. Encik Abd Rahim Muda yang turun padang melawat mereka sekeluarga di PAKR, Panching.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Musa Mamat yang sedang menunaikan solat Maghrib di surau berhampiran rumahnya bergegas pulang selepas mendapat khabar rumahnya terbakar bagi menyelamatkan isterinya seorang pesakit buah pinggang bersama anak perempuannya.

Penduduk kampung telah menyelamatkan isteri dan anaknya namun wang simpanan untuk rawatan penyakit Buah Pinggang isterinya berjumlah hampir RM16,000 telah hangus terbakar.

Menurut, YB. Abd Rahim Muda,” Menteri Besar telah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan meminta beliau menyampaikan bantuan segera bagi meringankan beban mereka sekeluarga. Pihak UMNO Paya Besar juga menghulurkan sumbangan. Kerajaan Negeri akan terus menyalurkan bantuan-bantuan lain selepas ini bagi memastikan kehidupan mereka sekeluarga dapat dibina semula.

Beliau juga meminta agar penduduk sentiasa mengambil berat setiap perkakas elektrik di rumah termasuk sistem wayering. Soket  penyambung, plug dan wayering yang lama harus di tukar kerana ianya sering menjadi punca kebakaran. Disamping itu kebocoran paip gas juga harus diberi perhatian.

Sementara itu, Musa Mamat ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang diatas sumbangan bantuan segera yang diterimanya.

Walaupun Menteri Besar masih berada diluar negara atas urusan kerja, namun beliau tetap mengambil berat. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan mereka sekeluarga yang kini menumpang sementara dirumah ibunya.

Sumber: Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment