Masjid Temerloh Jaya Adakan Solat Jenazah Ghaib Untuk Adib

Masjid Temerloh Jaya Adakan Solat Jenazah Ghaib Untuk Adib

TEMERLOH – Pengurusan Masjid Taman Temerloh Jaya turut tidak ketinggalan menganjurkan solat jenazah ghaib malam tadi bagi wira negara, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24.

Timbalan Pengerusi masjid itu, Ramizul Amin Ishak berkata, pemergian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu satu berita mengejutkan dan kehilangan buat negara.

Menurutnya, ia satu tragedi menyedihkan dan sangat menyentuh hati semua rakyat Malaysia.

“Bagi pihak seluruh jemaah masjid, kami ingin menyampaikan rasa simpati dan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Adib selain mendoakan Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang soleh.

“Dan kami berharap seluruh ahli keluarga Allahyarham bersabar di atas dugaan dan ujian yang dihadapi,” katanya lagi.

Solat terbabit diadakan sebelum Isyak dan dipimpin oleh Ramizul sendiri.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malam semalam selepas menerima rawatan selama 20 hari di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham mengalami kecederaan parah dalam kejadian rusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

 

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/3077

 

 

Leave a comment