Menjana Ekonomi Dengan Pelancongan Domestik – MB Pahang

Menjana Ekonomi Dengan Pelancongan Domestik – MB Pahang

Menurut satu laporan edisi terkini yang dikeluarkan oleh Organisasi Pelancongan PBB (United Nations Tourism Organisation (UNWTO)) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Malaysia kini berada di tangga ke-lima dari keseluruhan negara Asia-Pasifik yang paling banyak dilawati oleh pelancong dari seluruh dunia.

Dengan purata sebanyak 25.8 juta pelancong asing yang datang ke negara ini setiap tahun, kebergantungan yang tinggi sektor pelancongan kepada pelawat dari luar negara merupakan satu perkara yang tidak boleh dinafikan.

Dicatatkan pada tahun 2018, walaupun berlaku penurunan sebanyak 0.4% kehadiran pelancong asing berbanding tahun 2017, pelancong asing tetap menyumbang sebanyak RM84.1 bilion kepada ekonomi negara. Ini merupakan jumlah yang sangat signifikan, terutamanya dalam senario ekonomi negara dan dunia yang agak malap.

Sektor pelancongan secara keseluruhannya merupakan satu cabang ekonomi yang sensitif kepada pelbagai unsur dan perkara ini harus diambil kira dalam merencana pembangunan sektor ini. Antara perkara yang dikhuatiri oleh industri ini apabila melibatkan pelancong luar negara adalah seperti masalah nilai pertukaran mata wang, penularan wabak tertentu ataupun bencana alam.

Oleh yang demikian bagi memastikan sektor ini berupaya untuk distabilkan, adalah penting untuk kita memperkasakan keupayaan negeri agar dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan bagi menyemarakkan lagi arena pelancongan domestik, khususnya bagi Negeri Pahang Darul Makmur.

Kita perlu akui bahawa, sumbangan pelancong dalam negara turut memberikan impak signifikan kepada perkembangan ekonomi setempat dan harus diberikan tumpuan. Pada tahun 2018, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia telah mengumumkan bahawa Negeri Pahang Darul Makmur mengungguli sektor pelancongan domestik negara dengan kehadiran 9.2 juta pelancong.

Ini menjadikan Pahang sebagai negeri yang paling banyak dilawati oleh pelancong yang terdiri dari rakyat Malaysia sendiri. Kejayaan ini perlu diraikan dan usaha berlipat ganda harus dilaksanakan agar Negeri Pahang terus menjadi destinasi utama pelancong domestik.

Nama-nama lokasi pelancongan seperti Genting Highlands, Cameron Highlands, Teluk Cempedak, Pulau Tioman dan Taman Negara sudah semestinya tidak asing lagi untuk rakyat Malaysia. Namun begitu, Negeri Pahang Darul Makmur turut menyajikan banyak lagi lokasi pelancongan bertaraf dunia yang belum lagi popular dikalangan umum.

Antara tempat yang kurang diketahui oleh pelancong tempatan adalah seperti kemeriahan bermandi manda bersama keluarga di Air Terjun Sungai Pandan, menyaksikan keindahan alam semulajadi di Blackwater Sungai Bebar dan juga keasyikkan bersantai di kawasan Air Panas Bentong (Bentong Hot Springs), seharusnya dirasai oleh setiap rakyat Malaysia.

Atas dasar dan polisi kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur yang tegas dalam memulihara dan memelihara alam sekitar, kawasan-kawasan khazanah alam ini bukan sahaja dapat dinikmati sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga meningkatkan kesedaran para pelancong tempatan untuk menghargai alam semulajadi, terutamanya bagi generasi muda.

Peningkatan pelancongan domestik juga akan berupaya membantu para usahawan IKS (Industri Kecil & Sederhana) meningkatkan pasaran dan jualan produk mereka. Bagi industri makanan desa contohnya, pelancong tempatan sudah tentu akan berupaya untuk lebih menghargai hasil juadah yang dihasilkan oleh anak-anak Pahang untuk dinikmati sepanjang lawatan mereka di negeri ini, ataupun untuk dibawa balik sebagai cenderahati.

Dalam hal ini juga, rakyat Pahang diharap dapat membantu perkembangan ekonomi negeri dengan menjadi duta negeri dan menceritakan kepada rakan-rakan, khususnya bagi mereka yang berada di luar negeri Pahang tentang kekayaan khazanah alam dan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi.

Paparkan tempat-tempat menarik di laman-laman media sosial anda, tunjukkan rasa kecintaan anda kepada Negeri Pahang Darul Makmur dengan mempromosikan lokasi dan produk pelancongan negeri agar dapat diketahui oleh semua rakyat Malaysia.

Bersama kita meningkatkan ekonomi negeri dengan pelancongan domestik. Ayuh melancong ke Negeri Pahang Darul Makmur!

Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail

YAB Menteri Besar Pahang

sumber gambar ; https://www.timetravelturtle.com/tioman-island-malaysia/, https://www.libur.com.my/4-percutian-dingin-nyaman-ala-oversea-di-tanah-tinggi-pahang/ , https://juiceonline.com/theres-lots-more-to-kuantan-than-just-cherating/

 

Leave a comment