MENTERI BESAR PAHANG MAHU MPWP PERKASA GOLONGAN WANITA

MENTERI BESAR PAHANG MAHU MPWP PERKASA GOLONGAN WANITA

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 6 FEBUARI 2020: Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kewujudan Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) sebagai satu entiti yang mampu memperkasakan golongan wanita di negeri ini.

Beliau yang juga Penasihat MPWP berkata, wanita adalah aset negara malah kemampuan golongan tersebut dalam pelbagai bidang sangat dibanggakan.

“Saya berpandangan MPWP ialah salah satu entiti berperanan penting dalam membantu kerajaan membela nasib golongan wanita melalui pelbagai cara.

“Hal-hal kebajikan golongan ini perlu dititikberatkan dan Kerajaan Negeri akan sentiasa bersedia membantu dan memberi sokongan terhadap usaha yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat jawatankuasa MPWP yang diterajui Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Sementara itu YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza yang ditemui berkata, keunikan MPWP terletak pada tumpuannya dalam membantu wanita dari segala aspek.

“Segalanya tentang wanita termasuk kebajikan, keusahawanan, pendidikan, sukan rekreasi dan banyak lagi menjadi fokus agenda MPWP yang tertumpu kepada wanita di peringkat akar umbi.

“Lebih menarik, kita mempunyai pusat aduan wanita yang beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang telah pun menerima ramai wanita yang berhadapan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, pusat tersebut menjadi satu saluran yang tepat bagi wanita tanpa mengira ideologi atau perbezaan politik menyelesaikan masalah mereka kepada pihak atau agensi bertanggungjawab.

Sambutan yang menggalakkan juga katanya telah menimbulkan idea untuk mewujudkan lebih banyak pusat aduan wanita di peringkat daerah atau parlimen dalam jangka masa panjang.

Oleh:Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment