Mesyuarat Khas- Bincang Masalah Air Pekan

Mesyuarat Khas- Bincang Masalah Air Pekan

Kuantan, 21 Mac- Satu mesyuarat khas oleh Jawatankuasa Pengerusan Dan Bantuan Bencana Daerah Pekan telah diadakan pada 17 Mac 2019 lalu di Bilik Gerakan Pejabat Daerah & Tanah Pekan.

Mesyuarat antara pihak Kerajaan Negeri, pemimpin masyarakat dan Pengerusi MPKK ini bertujuan bagi membincangkan masalah bekalan air di Pekan.

Taklimat berkenaan ramalan cuaca telah disampaikan oleh pihak Jabatan Meteorologi Pahang manakala pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) memberikan taklimat mengenai masalah bekalan air terawat di beberapa kawasan berkenaan serta tindakan yang akan dan telah diambil oleh PAIP.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang merangkap ADUN Kawasan Bebar, YB. Dato’ Fakhruddin Ariff yang turut hadir pada mesyuarat tersebut turut meminta kerjasama Ketua Kampung (Pengerusi MPKK) supaya dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai keadaan dan masalah berkaitan krisis air yang dihadapi sekarang.

Beliau turut berkata, penyebaran maklumat mengenai keadaan semasa secara menyeluruh perlu dilakukan dua hala bagi mengelakkan berita tidak benar disebar khususnya di media sosial.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli.

Turut hadir ADUN Pulau Manis, YB Dato’ Khairuddin Mahmud.

Oleh: A.

Leave a comment