PAHANG BAKAL LAKSANA PAKAIAN ATLET SUKAN PATUH SYARIAH
KUANTAN, 21 JANUARI 2020: Pahang bakal melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan, namun perkara berkenaan masih perlu melalui beberapa peringkat perbincangan sebelum ia diputuskan secara rasmi.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah pertama adalah dengan mengadakan seminar bagi tujuan perbincangan dan memberi kefahaman berkenaan isu itu sebelum ke peringkat seterusnya.
“Ini (pakaian) adalah satu perkara yang dituntut syariah… Setakat ini seminar dan saya baru dapat resolusi serta telah diserahkan kepada Exco agama untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Exco sebelum kita ambil tindakan selanjutnya.
“Apa yang penting ini adalah satu usaha yang sangat baik dicetus masyarakat . Terengganu telah melaksanakannya dan kita perlu patuh apa yang dituntut syariah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Seminar Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang di Auditorium Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini, hari ini.
Turut hadir, YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia ,Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, YH. Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim.
Pada majlis itu, seramai 480 peserta menyertai seminar itu yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), atlet dan jurulatih sukan di bawah seliaan Majlis Sukan Pahang (MSP), wakil agensi kerajaan, aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pensyarah dan pelajar IPT tempatan.
Sementara itu, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, pemakaian patuh syariah tidak membataskan pencapaian seseorang atlet itu malah kejayaan beberapa orang atlet beragama Islam di peringkat antarabangsa dan kebangsaan sudah membuktikannya.
“Ia jelas (bukan penghalang) namun kita masih memerlukan kata sepakat dan penelitian yang sewajarnya dengan menerima pandangan pelbagai pihak seperti ahli akademik, Mufti, pakar-pakar syariah, persatuan-persatuan sukan dan syarikat pengeluar pakaian sukan,” katanya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian dan komitmen kepada sebarang usaha untuk memartabatkan syiar Islam dan pematuhan syariah di negeri ini termasuk penguatkuasaan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan bermula tahun ini.
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)