Pahang bakal majukan projek tanaman nanas MD2

Pahang bakal majukan projek tanaman nanas MD2

KUANTAN, 15 JANUARI 2020: Satu majlis menandatangani perjanjian bagi projek penanaman nanas MD2 yang ditandatangani antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang dan Greenworld Plantation Sdn Bhd di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hadir menyaksikan perjanjian yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, YH. Dato’ Suhaimi Mohd Yunus dan Pengarah Greenworld Plantation Sdn. Bhd, Encik Wesley Tan Seah Ging.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak dan YH Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Haji Salleh

Kos pembangunan keseluruhan bagi cadangan projek seluas 100.7 hektar bertempat di Pekoti Timur, Mukim Keratong Rompin itu dianggarkan berjumlah RM30 juta dan syarikat menjangkakan kira-kira 85 hingga 100 peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

Projek itu turut melibatkan kerjasama strategik bersama UMP Technology Sdn. Bhd. (UMPT) iaitu sebuah anak syarikat UMP Holdings Sdn Bhd bagi menjalankan aktiviti perundingan dan pengkomersilan teknologi berkaitan pembangunan kawasan menggunakan teknologi termoden.

Majlis menandatangani perjanjian itu dilaksanakan dalam tempoh lima bulan selepas memorandum persefahaman ditandatangani di Singapura pada 2 Ogos 2019.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya menarik pelaburan berjumlah kira-kira RM1.134 bilion melalui Forum Pelaburan Pahang 2019 di Singapura pada 1 dan 2 Ogos tahun lalu.

Sebanyak enam lagi perjanjian akan dimuktamadkan dan ditandatangani pada bulan depan dan dua lagi dijadualkan pada Mac tahun ini.

Tiga lagi cadangan projek sedang dalam proses rundingan terma dan syarat dengan pihak pelabur.

Bagi projek penanaman nanas ini, perjanjian telah dimeterai antara Kerajaan Negeri Pahang bersama syarikat Ananas Republic Pte. Ltd, bersempena forum berkenaan di Grand Hyatt, Singapura.

Ia direalisasikan pada hari ini melalui majlis menandatangani perjanjian yang diwakili syarikatnya yang diperbadankan di Malaysia iaitu Greenworld Plantation Sdn. Bhd.

Leave a comment