PAHANG BAKAL TERIMA PELABURAN LAGI RM1.386 BILION DARI CHINA

PAHANG BAKAL TERIMA PELABURAN LAGI RM1.386 BILION DARI CHINA

KUANTAN – Pahang bakal menerima kemasukan pelaburan lagi RM1.386 bilion dari Negara China ekoran termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dengan enam (6) syarikat dari negara tersebut.

Majlis menandantangani MoU ini berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Nanning, China tengah hari ini, yang disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berada di sana kerana mengetuai rombongan Kerajaan Negeri dalam lawatan kerja, termasuk ke Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) – taman perindustrian berkembar kepada Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), serta menghadiri China-ASEAN Exposition (CAEXPO) Nanning 2019.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar di sini, keenam-enam syarikat terlibat ialah ND Paper (M) Bhd, bernilai pelaburan RM522.2 juta yang akan membina kilangnya di Bentong bagi pengeluaran kertas dan palpa (ENG; paper and pulp).

TNP Power Sdn Bhd, bernilai pelaburan RM341.74 juta bagi membina kilang di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1, Kuantan bagi penjanaan bersepadu tenaga dan haba (ENG; combined heat and power generation).

China Travel Service Meizian Company Limited, bernilai pelaburan RM200 juta bagi pengwujudan ‘Eco Tourism City’ di Bukit Tinggi, Bentong.

Zhongxin Resources Regeneration Technology Sdn Bhd, bermilai pelaburan RM122.48 juta bagi projek pengeluaran kertas dan habuk plastik (Eng; paper and plastic particles manufacturing project) di MCKIP 1 juga.

Wuxi Jinxie Industrial Company Limited, bernilai pelaburan RM100 juta bagi projek pembinaan turbin angin berkelajuan rendah untuk menjana tenaga 800kw (Eng; 800kw ultra-low wind speed widn turbine) di Pulau Tioman, Rompin.

Dan, Power China Construction Group, bernilai pelaburan RM100 juta juga bagi pembinaan kilang pengeluaran panel solar untuk kediaman (Eng; solar home panel) di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pencapaian ini yang dengannya, pasti memberi impak sosio-ekonomi yang besar kepada negeri dan rakyat Pahang,” kata Wan Rosdy sebagai reaksi kepada majlis hari ini. .

“Yang amat saya harapkan ialah agar MoU yang ditandatangani hari ini, dapat diterjemahkan secara realitinya kelak. Ini sepertimana lapan (8) daripada 11 MoU yang ditandatangani di Singapura awal Ogos lepas, yang telahpun pada peringkat akhir untuk dilaksanakan, insyaAllah,” katanya lagi.

Sebelum itu, Wan Rosdy telah membuat kunjung hormat ke atas Gabenor, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Encik Chen Wu di pejabatnya.

Banyak perkara dibincangkan pada sesi kunjung hormat itu termasuklah cadangan mengadakan penerbangan terus Kuantan-Nanning yang dengannya dijangka dapat memendekkan lagi masa, serta menambah-mudah sehingga boleh membanyakkan lagi kunjungan oleh rakyat antara kedua-dua bandar.

Leave a comment