Pahang bakal terima RM2,410 juta bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan tahun ini.

Pahang bakal terima RM2,410 juta bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan tahun ini.

Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dengan Kerajaan Negeri dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Dato’ Sri Azmin, dan dihadiri oleh antara lainnya Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Sallehuddin Ishak.

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Perbelanjaan Pembangunan (DE) kira-kira RM2.41 bilion untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri ini di bawah Rolling Plan 4 (RP4) 2019, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016-2020).

Ini sepertimana dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Sri Azmin Ali pada Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dengan Kerajaan Negeri pagi Jumaat, 16 Ogos di Bilik Gerakan Negeri, Tingkat 7, Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Sesi yang akhirnya berlangsung kira-kira tiga (3) jam itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Dato’ Sri Azmin, dan dihadiri oleh antara lainnya Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Sallehuddin Ishak;

Ahi-ahli Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Dato’ Dr Noor Zari Hamat; serta, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Mohamad Roslan Harun.

Yang terbesar daripada DE kira-kira RM2.41 bilion ini ialah kira-kira RM800 juta bagi projek pembinaan Central Spine Road (CSR) Pakej 6 melibatkan jajaran bandar Bentong ke Simpang Pelangai.

RM800 JUTA UNTUK PAKEJ 6 CSR; BENTONG-SIMPANG PELANGAI

CSR ialah projek lebuhraya 4-lorong bebas-tol sejauh 325 KM menghubungkan Kuala Krai, Kelantan yang melalui antara lain Gua Musang (Kelantan), serta Kuala Lipis, Raub dan Bentong; yang berakhir di Simpang Pelangai, Bentong.

Projek lain ialah kira-kira RM446 juta bagi pembinaan dan penyiapan Loji Rawatan Air (LRA) Semambu Fasa 3 yang berkapasiti 146 juta liter sehari sepertimana yang telah turut diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sebelum ini.

Begitu juga kira-kira RM380 juta bagi kerja-kerja menaiktaraf Laluan 3 dari persimpangan bertingkat Jalan Pintasan Gebeng-Sungai Ular, Kuantan hingga ke sempadan Pahang/Terengganu dekat Chendor.

Kira-kira RM231.12 juta ialah bagi pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan, Indera Mahkota, Kuantan; kira-kira RM200 juta ialah bagi pembinaan Hospital Maran;

Dan kira-kira RM173 juta bagi pembinaan dan penyiapan Tangki Imbangan berkapasiti 106 juta liter sehari di Kawasan Perindustrian Gebveng, Kuantan (sepertimana juga yang telah Perdana Menteri umumkan sebelum ini).

PROJEK ‘KUANTAN URBAN RECHARGE’ DI PADANG MPK 2

Projek-projek lain lagi ialah seperti kira-kira RM25.24 juta bagi pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di Kampung Cherating, Cherating, Kuantan.

Kira-kira RM18 juta bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di daerah Raub; kira-kira RM10 juta bagi pembinaan ‘Kuantan Urban Recharge’ serta kerja-kerja berkaitan di Padang MPK 2, Kuantan; kira-kira RM6.98 juta bagi pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Fraser, Raub.

Kira-kira RM3.75 juta bagi pembinaan ‘Peramu Wet Market’ serta kerja-kerja berkaitan di kawasan perumahan Peramu, Kuantan; kira-kira RM3 juta bagi pembinaan Kompleks Jualan dan Restoran Makanan Laut serta kerja-kerja berkaitan di muara Sungai Kuantan, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Masing-masing kira-kira RM2.5 juta bagi pembinaan Medan Selera serta kerja-kerja berkaitan di jalan utama Kuantan-Kemaman berhampiran Pantai Batu Hitam, Kuantan; dan, kerja-kerja menaiktaraf bangunan sedia ada serta kerja-kerja berkaitan di Pasar Besar Kuantan.

Kira-kira RM1.8 juta bagi pembinaan ‘Jogging Track’ dan kemudahan awam serta kerja-kerja berkaitan di Taman Tasik Gambang, Kuantan; kira-kira RM1.5 juta bagi melakukan kajian untuk menaiktaraf atau pembinaan pintasan jalan di Cameron Highlands.

Dan, kira-kira RM1.2 juta lagi ialah bagi kerja-kerja menaiktaraf gerai sedia ada serta kerja-kerja berkaitan di Astaka Beserah, Kuantan.

Sumber: Khabar Pahang

Leave a comment