Pahang Investment Corporation (PIC)-Langkah strategik untuk peningkatan prestasi S-GLCs
Kuantan, 16 September – Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan penubuhan Pahang Investment Corporation (PIC) sebagai langkah strategik untuk pengstrukturan dan meningkatkan prestasi Anak Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLCs).
Ia telah dimaklumkan oleh Dato’ Sri Haji Wan Rosdy didalam temubual beliau bersama pengamal media tempatan sempena 100 hari pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar Pahang yang baru.
“Melalui penubuhan PIC ini, semua agensi kerajaan negeri berhasrat menceburi perniagaan dengan modal besar atau kerjasama dengan syarikat lain perlu dibincangkan dan diperhalusi di peringkat ini supaya ia dapat disusun secara teratur dan berkesan.
“Penubuhan PIC sudah diluluskan Kerajaan Negeri dan ia dalam proses penyusunan termasuk pelantikan Pengurus Besar,” jelas beliau.
Selain daripada itu, PIC juga ditubuhkan sebagai ‘One-Stop-Centre’ kepada 40 anak syarikat milik Kerajaan Negeri.
Dengan meletakkan syarikat ini dibawah satu bumbung, beliau turut yakin dapat memudahkan Kerajaan Negeri untuk memantau prestasi berdasarkan KPI yang telah ditetapkan disamping memberikan khidmat nasihat kepada mereka untuk membuat pelaburan yang betul dengan pulangan yang menjanjikan keuntungan.