Pelombong Haram Digesa Menghentikan Aktiviti Haram

Raub, 2 November – Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited dalam membanteras gejala lombong haram demi kelestarian kawasan hutannnya.
“Saya turut menasihati mereka yang terlibat dalam aktiviti melombong secara haram agar menghentikannya segera kerana lambat-laun, tindakan tegas pasti akan dikenakan ke atas mereka pula,” demikian nasihat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdi ketika ucapannya semasa Majlis Perasmian Penutup Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Aktiviti Lombong Pahang Barat (OpsLombong 3.0) di Hutan Simpan Tersang.
Ops Lombong 3.0 ini adalah lanjutan daripada operasi Ops Lombong 1.0 dan 2.0 yang merangkumi 155,129 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan termasuk kawasan yang diberi Lesen Mencarigali dan Pajakan Melombong bagi daerah-daerah Lipis dan Raub.
Sepanjang operasi dijalankan, seramai 16 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan dan 34 buah jentera dan mesin pelbagai jenis disita. Anggaran nilai bahan mineral yang disita pula adalah RM 1.5 juta.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan daripada pelbagai jabatan dan agensi atas kejayaan operasi ini,” katanya lagi semasa di akhir ucapan majlis tersebut.