PEMBINAAN LRA BAHARU BERKAPASITI 400 JLH TINGKAT KEPERLUAN AIR PENDUDUK DI KUANTAN

PEMBINAAN LRA BAHARU BERKAPASITI 400 JLH TINGKAT KEPERLUAN AIR PENDUDUK DI KUANTAN

Kerajaan Pahang telah merancang untuk membina sebuah Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Bukit Puling yang berkapasiti 400 Juta Liter Sehari (JLH) bagi menjaminkan keperluan air di Kuantan sehingga tahun 2045.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Encik Saiful Zaini Mohd Bukhari berkata, perubahan kawasan muka sauk dan loji ke Bukit Puling akan memberi impak yang positif dari segi kos operasi dan kelebihan sumber air selain mengurangkan kebergantungan kepada Muka Sauk Kobat.

 

Menurutnya, projek loji baharu yang telah diluluskan pada akhir tahun 2019 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan kos RM446 juta itu akan dapat memberi keyakinan kepada pelabur yang melabur di Kuantan terutama di kawasan Perindustrian Gebeng sejajar dengan kepesatan pembangunan di Bandaraya Kuantan.

 

“Projek pembinaan ini telah dipersetujui untuk diperluaskan daripada 145 JLH ke 400 JLH bagi menjaminkan keperluan air di Kuantan sehingga tahun 2045,” katanya.

 

Beliau berkata demikian bagi mewakili YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Makmal Kajian Nilai Projek Membina Dan Menyiapkan Loji Rawatan Air Semambu Fasa 3 Berkapasiti 145 JLH Di Daerah Kuantan, di Hotel Zenith, di sini baru-baru ini.

 

Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Nilai, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Tuan Ir Ahmad Shahruzi Ahmad; Eksekutif Kanan Bahagian Perkhidmatan Air dan Pembentungan, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Encik Zulhelmi Kasim dan Pengurus Perindustrian, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, Tuan Haji Md. Daud Abdul Rahman.

 

Bagi merialisasikan rancangan itu, satu Majlis Menandatangani Perakuan Makmal Kajian Nilai bagi Projek Pembinaan LRA Bukit Puling berkapasiti 400 JLH ini telah ditandatangani, Jumaat lalu.

 

Perakuan tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Infrastruktur & Kemudahan Awam, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Encik Zulghafar Tajinan; Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Sektoral), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Cik Nadimah Hilwah Mohd Saifuddin; Jurutera Awam Kanan, Bahagian Bekalan Air, Kementerian Alam Sekitar & Air (KASA), Puan Nor Jahilawati Mohd dan Pengurus Besar Divisyen Perancangan, Perniagaan & Pembangunan PAIP, Puan Hajah Faridah Ibrahim.

 

Dalam pada itu, Encik Saiful Zaini berkata, Keputusan Makmal Pengurusan Nilai (Value Assessment) ini akan dihantar kepada Pengurusan Tertinggi Unit Perancang Ekonomi untuk pengesahan bersama dengan Kerajaan Pahang.

 

Beliau berkata, ketika ini sumber bekalan air di Kawasan Industri Gebeng yang dibekalkan dari LRA Semambu berkapasiti 290 JLH di mana 50 peratus kapasitinya dibekalkan ke kawasan industri tersebut manakala 50 peratus lagi dibekalkan ke kawasan-kawasan lain di utara daerah ini.

 

Menurut beliau, pembangunan berskala besar di kawasan industri itu terutamanya dengan tertubuhnya Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) sekitar tahun 2017 telah menyebabkan peningkatan permintaan air terawat yang tinggi secara mendadak.

 

“Ketika ini kapasiti LRA Semambu sedia ada sudah berada pada tahap hampir maksima dan tidak mencukupi menampung permintaan air yang bertambah,” katanya.

 

Beliau berkata, di dalam Kajian Makmal Kajian Nilai tersebut dimana pelbagai agensi dan pemegang taruh hadir mengesahkan Unit Perancang Ekonomi Negara. sasaran permintaan air sehingga 2045 mencapai 400 JLH.

 

“Menilai hasil Kajian Makmal tersebut yang mengesahkan peningkatan keperluan air Daerah Kuantan terutama Kawasan Perindustrian Gebeng, Kerajaan Negeri Pahang telah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan pembinaan Loji Rawatan Air yang baru bagi menjamin bekalan yang konsisten dan mencukupi sehingga 2045,” katanya. -PAHANGMEDIA

Leave a comment