PENGECUALIAN BIL AIR SANGAT BERMAKNA UNTUK MANGSA BANJIR
Pengecualian pembayaran bil air selama tiga bulan di kawasan terjejas banjir baru-baru ini sangat bermakna kepada mangsa banjir di negeri ini yang mengalami kerugian teruk akibat banjir.
Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak berkata, bantuan itu sangat bermakna kepada mereka, sebab dalam keadaan ini kerugian yang mereka alami sangat besar.
“Jadi apa sahaja langkah yang boleh dilakukan kerajaan termasuk penangguhan bayaran bil air yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang sangat dialu-alukan dan sangat dihargai oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir Kepada Ketua Isi Rumah Mangsa Banjir di Seri Damai di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairudin Mahmud.
Lebih 4,000 mangsa banjir di Daerah Pekan terlibat menerima BWI termasuk 3,205 KIR tidak berpindah ke PPS dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah hampir RM6 Juta.
Setiap mangsa banjir menerima sumbangan berjumlah RM1,500 iaitu RM500 daripada Kerajaan Negeri dan RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan. – PAHANGMEDIA