Ops Lombong 4.0 | Kerajaan Negeri komited dalam memastikan hasil bumi diuruskan secara mampan.

Ops Lombong 4.0 | Kerajaan Negeri komited dalam memastikan hasil bumi diuruskan secara mampan.

YAB Dato’ Sri Wan Rosdy ( tengah ) Dato’ Dr Hizamri Yassin ( kiri ) YB Dato’ Sri Soffi ( kanan ) meniliti pameran yang diadakan ketika perasmian penutupan Ops Lombong 4.0

Berita | Lipis, 4 April – Operasi Lombong 4.0 ( Ops Lombong 4.0 ) kali ini menyaksikan kejayaan apabila seramai tujuh “Orang Kena Tangkap” (OKT) warga asing telah ditahan ketika berada dalam kawasan lombong tanpa permit dan mereka diserahkan kepada Jabatan Imegresen untuk tindakan selanjutnya.

Ops Lombong 4.0 dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ( JPNP ) merupakan kesinambungan daripada yang lepas dan dilihat sebagai kejayaan apabila sepanjang operasi ,ia berjaya membuka 12 kertas siasatan dan penemuan amang emas dan stock mineral yang menganggarkan nilai kerugian sebanyak RM 1.5 juta.

Antara objektif penguatkuasaan ini adalah untuk ;

  • Memastikan semua Lesen Mencarigali dan Pajakan Melombong mematuhi syarat yang telah ditetapkan.
  • Mengekang ketirisan hasil Kerajaan Negeri melalui cukai dan lain-lain.
  • Memperkasa aktiviti penguatkuasaan bersepadu dengan jabatan dan agensi penguatkuasaan yang lain.

Selain dariapada JPNP, program empat hari ini turut disertai oleh 190 orang pegawai daripada pelbagai agensi termasuklah PTG, Polis Diraja Malaysia (PDRM), abatan Mineral dan Geosains (JMG); Pejabat Daerah dan Tanah Lipis; Jabatan Alam Sekitar (JAS); Badan Kawal Selia Air (BKSA); Jabatan Imigresen dan Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia.

“Pendekatan operasi secara berterusan dengan memberikan tumpuan ke atas kawasan berisiko tinggi menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri yang serius untuk membendung aktiviti Lombong Haram” jelas Dato’ Sri Wan Rosdy pada Majlis Penutupan OPS Lombong 4.0.

Operasi ini telah membuat pemeriksaan terhadap terhadap lebih 49 lombong dalam kawasan hutan simpan kekal dan tanah kerajaan seluas 16,000 hektar di daerah ini dalam tempoh empat hari operasi.

Antara kegagalan syarikat perlombongan ialah mereka gagal memperbaharui lesen melombong bijih emas dan besi serta sikap cuai dan mengambil mudah terhadap aspek keselamatan dan pelesenan.

Syarikat perlombongan beroperasi tanpa lesen boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 , Enakmen Mineral Negeri dan akta pihak berkuasa lain.

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, Ops Lombong yang berjaya ini akan diteruskan pada masa hadapan dan diperluaskan ke seluruh Negeri Pahang. Beliau juga menegaskan Kerajaan Negeri amat komited dalam memastikan hasil bumi diuruskan secara mampan bagi membolehkan ia terus dinikmati oleh generasi akan datang.

Sumber: Harian Metro

Ulasan Semula: Admin

Leave a comment