Penstrukturan Semula Cukai Tanah Pahang, Demi Kemakmuran Bersama

Penstrukturan Semula Cukai Tanah Pahang, Demi Kemakmuran Bersama

Sebagai instrumen ekonomi yang penting dalam pembangunan negeri, sistem percukaian yang efektif bukan sahaja akan dapat menambah sumber pendapatan negeri, tetapi juga meningkatkan lagi kebolehan kerajaan dalam menyediakan fasiliti dan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Bagi memastikan kadar penambahan pendapatan negeri yang releven, selaras dengan perkembangan semasa, Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur telah memperkenalkan kadar cukai tanah baharu berkuatkuasa 1 Januari 2020 yang mana ianya telah dirangka agar tidak membebankan rakyat.

Jika kita melihat perbandingan antara negeri-negeri lain, tiada perubahan pada kutipan cukai tanah yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Pahang sejak tahun 2007 lagi, sungguhpun telah diarahkan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) pada tahun 2015.

Namun begitu, terdapat bantahan daripada pihak tertentu, khususnya bagi pemilik tanah yang berkategori “tiada” atau “nil condition” kerana perubahan cukai terhadap tanah milik mereka adalah paling tinggi (kadar baru RM10 semeter persegi).

Kategori “tiada” ini merupakan pendaftaran hakmilik tanah sebelum tertubuhnya Kanun Tanah Negara (KTN), yang mana penggunaan khusus tanah tersebut samada dalam kategori pertanian, bangunan ataupun industri tidak dinyatakan di dalam geran.

Perkara ini dengan mudah dapat diselesaikan apabila pemilik tanah menukar jenis kategori yang sepatutnya di pejabat tanah berdekatan dan sekaligus akan mendapat tariff baharu cukai tanah mengikut kategori penggunaan tanah tersebut.

Sebagai contoh sekiranya seorang pemilik tanah berkategori “tiada” terpaksa membayar RM 500,000 bagi tanah berkeluasan 5 hektar, kini dengan tariff percukaian bagi tanah pertanian yang bernilai RM80.00 sehektar, beliau hanya perlu membayar sebanyak RM400.00 sahaja.

Selain itu, sungguhpun dilihat penstrukturan cukai baharu yang pro-rakyat, Kerajaan Negeri Pahang juga peka apabila mendengar keluhan daripada pemain industri yang memohon agar tariff cukai tanah yang telah diumumkan pada 1 Januari 2020 dapat dikurangkan.

Baru-baru ini satu pengumuman oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan kadar cukai tanah bagi kategori industri sebanyak 80 peratus berkuat kuasa serta-merta, telah disambut baik oleh pemilik tanah berkategori industri.

Cukai tanah kategori industri turun kepada 50 sen semeter persegi berbanding RM2.50 bagi semeter persegi mengikut cukai yang diwartakan bagi tahun 2020 sebelum ini. Bagi daerah Kecil Gebeng, kadar cukai tanah perindustrian selepas remisyen ialah RM1.00 berbanding RM5.00 semeter persegi sebelum ini manakala cukai di daerah Kecil Genting Highlands menjadi 80 sen berbanding RM4 semeter persegi sebelum ini.

Selain kepekaan yang dipamerkan oleh kerajaan negeri, kita perlu sedar bahawa Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur turut berjaya menyeimbangkan antara pelaksanaan sesuatu polisi dengan kehendak atau kemampuan rakyat. Penstrukturan semula cukai bukanlah satu perkara yang mudah dijalankan kerana ia melibatkan pemegang taruh (stakeholders) yang mempunyai kehendak berbeza.

Namun di sini adalah wajar untuk kita melihat kesanggupan kerajaan negeri untuk membuka ruang perbincangan dengan rakyat dan industri, supaya polisi, sungguhpun yang telah diwartakan, dapat dilaksanakan dengan mewujudkan satu situasi menang-menang (win-win situation) kepada semua pihak.

YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail

Menteri Besar Pahang

Leave a comment