Penurunan Kuasa Kelulusan Kebenaran (Consent) Kepada Pentadbir Tanah Daerah
Bilik Kunjung Hormat, Pejabat Menteri Besar Pahang, 1 Ogos – MB Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy telah membuat pengumumannya kepada pengamal media tempatan tentang penurunan kuasa kelulusan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah daripada Menteri Besar kepada Pentadbir Tanah dan Pendaftar.
Penurunan kuasa yang bermula pada hari ini, Rabu, 1 Ogos ini dibuat demi mengurangkan karenah birokrasi, sambil menambah-baik sistem penyampaian Kerajaan lalu dapat memudah-cara dan memendekkan tempoh bagi urusan-urusan berkenaan.
“Pokoknya, kita hendak memudahkan,mempercepatkan,” katanya.
Beliau turut berkata betapa dengan keputusan ini, “dapat mengurangkan masalah birokrasi,itu yang penting. (Meningkatkan) ‘delivery system’ maka rakyat Pahang pun ‘happy’”.
Langkah ini dilihat dapat menjimatkan masa iaitu dalam tempoh antara 1 dan 2 hari sahaja berbanding dahulu yang memakan masa hampir 6 bulan atau lebih untuk kelulusan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah bagi tujuan kasih sayang yang melibatkan suami-isteri, anak-beranak dan waris qadim.
Dalam pada itu, beliau turut menyebutkan tentang urusan yang masih dikekalkan kuasa Menteri Besar adalah bagi permohonan pindah milik, gadaian mahupun pajakan tanah melibatkan Melayu kepada bukan Melayu, demi menjaga kepentingan tanah milik Melayu di negeri ini.
Sumber: Khabarpahang
One Reply to “Penurunan Kuasa Kelulusan Kebenaran (Consent) Kepada Pentadbir Tanah Daerah”
Terbaek Menteri Besar Pahang..Dato Sri Haji Wan Rosdy… Keperihatinan dan langkah yang tepat ke arah menghepikan dan memudahkan urusan rakyat di Negeri Pahang..