Warisan Pahang : Perahu Jalur

Warisan Pahang : Perahu Jalur

Dalam menongkah arus globalisasi masa kini, warisan kesenian,budaya dan adat Melayu yang telah ditanggalkan oleh orang-orang dahulu mestilah dipulihara dan dipelihara dalam masyarakat.

Sebagai penduduk di Tanah Jawi, peninggalan ini haruslah dijaga kerana ia melambangkan jati diri dan memaparkan cara hidup serta ketinggian adab sepertimana tokoh-tokoh Kemelayuan terdahulu yang di pandang tinggi seantero dunia.

Oleh itu, setiap individu haruslah memainkan peranan penting terutama dalam mendidik generasi agar peninggalan ini tidak dimakan dek zaman lalu dilupakan.

Salah satu warisan Negeri Pahang yang semakin dilupakan adalah kesenian perahu jalur.

Suatu ketika dahulu, Sungai Pahang adalah sumber laluan yang menghubungkan satu kampung dengan yang lain. Perahu jalur dan rakit merupakan kenderaan air yang digunakan sebagai pengangkutan masyarakat untuk membawa  hasil tanaman seperti padi, getah, buah-buahan dan hasil pertukangan dari kampung ke bandar. Turut dikisahkan, perahu jalur juga digunakan dalam peperangan.

Misalnya, setelah Sultan Mansur Shah menjadi sultan pada 1456, baginda pun menghantarkan angkatan perang laut Kerajaan Melaka menyerang Negeri Pahang di satu kempung dipanggil Pura. Angkatan itu mengandungi 200 perahu kecil dan besar.

Hingga kini, masih terdapat lagi penduduk-penduduk dt Mukim Cenor, Semantan dan Temerloh yang masih menggunakan perahu jalur menghilir atau memudik di sungai ini ke bandar Temerloh
yang terletak di muara Sungai Semantan (anak Sungai Pahang).

Perahu jalur mempunyai sifat-sifat yang istimewa dari perahu papan atau rakit. Ia diperbuat dari sebatang balak yang berjenis keras atau lempung yang mudah didapati di hutan. Antara keistimewan perahu jalur ialah:

1.Kelajuan

Rupabentuk seperti seludang kelapa membolehkan perahu Jalur meluncur lebih laju dari perahu papan atau rakit di permukaan air.

2. Ketahanan.

Setelah diawetkan, bahan kayu perah ujalur boleh tahan lebih lama dari perahu papan atau rakit. Pada kebiasannya ia boleh tahan digunakan selama lima hingga lima belas tahun. Manakala ketahanannya bergantung secara langsung kepada kaedah penjagaan dan kekerasan kayu.

3. Kemudahan Mengawal.

Ia lebih senang dikawal dari rakit untuk melintasi rintangan di sungai seperti menyusur di celah batu-batu besar atau pulau-pulau yang terdapat di Sungai Pahang. Jika terlingkup di sungai, ia akan timbul dan mudah dibalikkan semula.

4. Kesenian Pertukangan.

Seni pertukangan membina perahu jalur adalah bermutu tinggi dan matang bagi masyarakat orang Melayu. Maka masa membina sebuah perahu jalur lebih cepat dari perahu papan.

5. Kos Penjagaan.

Perahu jalur diperbuat dari sebatang balak. Harganya berdasarkan kepada muatan yang boleh ditampung. Harganya lebih murah dari perahu yang diperbuat dari fiberglass atau polystyerene. Pembinaan dari sebelah batang balak menjadikan ia tanpa pangsa atau sendi. Maka sukar berlaku kebocoran pada perahu itu dan kos penjagaannya adalah lebih murah dari perahu papan yang berpangsa dan bersendi.

Bentuk, Ukuran dan Bahan Binaan

Rekabentuk Perahu Jalur

Terdapat dua (2) jenis bentuk perahu jalur yang dibina di kampung-kampung di sepanjang Sungai Pahang. Bentuk tersebut adalah seludang dan nyulung. Bentuk seludang yang menyerupai seludang kelapa mempunyai sudut bangun lebih dari bentuk nyulung. Maka hujung dan pangkal perahu seludang lebih mendonggak dari perahu nyulung. Ini membolehkan perahu seludang meluncur lebih laju dari perahu nyulung di permukaan air.

Walaubagaimanapun perahu nyulung yang berbentuk lebih mendatar dari perahu seludang boleh menampung muatan yang lebih.

Lebat daun bunga tanjung
Berbau harum bunga cempaka
Seni dijaga warisan dijunjung
Agar terpelihara tradisi kita
(Julie Haniza)

Sumber: Jurnal Ismail Said, Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (SENI PERTUKANGAN PERAHU JALUR NEGERI PAHANG)

Oleh: Admin

Leave a comment