Peruntukan lebih RM5 Juta Tangani Masalah Air Di Kuantan
Kuantan, 20 Ogos – Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan peruntukan lebih RM5 juta bagi menangani segera masalah gangguan bekalan air di Kuantan, yang terkesan ekoran musim kemarau ketika ini.
Menurut kenyataan media oleh Pejabat Menteri Besar Pahang, peruntukan ini ialah bagi membaiki kebocoran pada ban berhampiran Rumah Pam Kobat dan menjalankan kerja-kerja pembenihan awan di atas kawasan-kawasan tadahan air yang berkenaan.
Kedua-dua langkah ini dijangka dapat membantu dalam meningkatkan kandungan air di kawasan-kawasan berkenaan, seterusnya mengatasi gangguan bekalan air yang membabitkan 80,000 akaun di daerah ini.
Ini adalah susulan kepada lawatan kerja oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ke Rumah Pam berkenaan disusuli ke Loji Rawatan Air (LRA) Panching pada pagi semalam.
Sebelum itupun, pada 14 Ogos, lawatan kerja yang sama telah dilakukan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas, Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri, Dato’ Norol Azali Sulaiman.
“Sebanyak RM5 juta daripada peruntukan ini akan disumbangkan oleh pemain-pemain utama industri di Kawasan Perindustrian Gebeng, sepertimana mereka persetujui pada pertemuan dengan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, pagi ini.
“Peruntukan RM5 juta ini khusus bagi memperbaiki kebocoran pada ban berhampiran Rumah Pam Kobat, manakala selebihnya akan ditanggung sendiri oleh Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja pembenihan awam,” menurut kenyataan media tersebut.
Pada pertemuan dengan Menteri Besar, pemain-pemain utama industri ini yang menamakan diri sebagai Kumpulan Sokongan Industri Gebeng (GISG; Gebeng Industrial Support Group), telah bersetuju membiayai peruntukan RM5 juta ini sebagai memenuhi Tanggung jawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
Peruntukan RM5 juta ini akan digunakan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan bagi mengelakkan kebocoran pada ban tersebut, dengan menggunakan kaedah ‘sheet pile’ yang lebih kukuh.
Menurut rekod, sudah dua (2) kali ban ini diperbaiki iaitu pada tahun 2015 dan 2017, melibatkan peruntukan kira-kira RM14 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri.
Pada pertemuan yang sama antara Menteri Besar dengan GISG ini, turut diputuskan ialah penubuhan Jawatankuasa Bertindak Bersama (JAC; Joint Action Committee) melibatkan kedua-dua Kerajaan Negeri dan pemain-pemain industri berkenaan.
Peranan JAC menurut kenyataan media itu lagi, ialah sebagai perantaraan bagi kedua-dua pihak untuk berbincang secara langsung mengenai apa juga perkara yang melibatkan kepentingan kedua-duanya.