Politik & Pentadbiran: Suara Rakyat Perlu Sentiasa Didahulukan – MB Pahang

Politik & Pentadbiran: Suara Rakyat Perlu Sentiasa Didahulukan – MB Pahang

Sebagai sebuah negara demokrasi, politik dan sistem pentadbiran di Malaysia merupakan dua wadah yang tidak boleh dipisahkan. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan, yang mana rakyat berkuasa penuh untuk memilih mana-mana individu sebagai wakil ke peringkat Dewan Undangan Negeri atau Parlimen bagi menentukan hala tuju negeri dan negara.

Wakil-wakil ini yang juga disebut sebagai “wakil rakyat” akan menjadi golongan pentadbir yang mengawal selia pengurusan di peringkat negeri dan juga kerajaan persekutuan. Di peringkat persekutuan, negara kita Malaysia mewarisi sistem yang telah ditinggalkan oleh pihak British yang dikenali sebagai Sistem Westminister. Melalui sistem ini, terdapat dua dewan yang akan bersidang bagi menentukan hala-tuju dan polisi yang di buat oleh kerajaan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat adalah bagi wakil-wakil rakyat yang telah memenangi pilihan raya dan diundi oleh rakyat untuk mewakili mereka. Manakala Dewan Negara pula adalah lantikan yang dibuat di peringkat negeri ataupun oleh Yang Di-Pertuan Agong. Kedua-dua dewan ini membicarakan hal-hal berkaitan persekutuan, seperti polisi, undang-undang dan hal pentadbiran negara.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri pula, hal-hal yang dibicarakan adalah berkaitan hal negeri, seperti isu pembangunan, agama Islam dan adat Melayu, ekonomi, pembangunan sosial dan lain-lain perkara yang melibatkan negeri tersebut.

Dewasa ini, mungkin ada di antara kita yang sering merasakan bahawa terlalu banyak isu politik disiarkan di media atau media sosial. Ada juga dikalangan rakyat yang merasakan bahawa ahli politik di Malaysia, khususnya mereka yang telah dilantik sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, terlalu menumpukan isu-isu remeh yang tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat secara keseluruhannya.

Terdapat juga rakyat Malaysia yang berpendapat bahawa selepas pilihan raya berlangsung, kini mereka tidak berdaya untuk mempengaruhi ahli-ahli politik yang telah mereka lantik, untuk membicarakan permasalahan, cadangan atau kritikan mereka terhadap isu yang mereka rasakan lebih penting berbanding isu-isu politik yang kini sedang tular.

Realitinya, adalah penting untuk setiap rakyat Malaysia faham dan tahu, bahawa keterlibatan mereka dalam politik bukan sahaja semasa menandakan kertas undi pada hari mengundi sahaja. Jika mereka ingin menyaksikan perubahan dan pembangunan yang lebih efektif, seharusnya mereka menjadi pemerhati dan sentiasa memberikan cadangan atau kritikan membina kepada wakil-wakil yang telah mereka pilih.

Setiap wakil yang diangkat dan diletakkan oleh rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri atau Parlimen mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membawa aspirasi rakyat ke peringkat pentadbiran dan pembuatan polisi. Tidak kira dari apa jua parti politik yang disertai oleh wakil rakyat tersebut, samada di pihak kerajaan atau pembangkang, tanggungjawab mereka jelas, iaitu untuk menjadi penyambung lidah rakyat. Segala pendapat, permintaan, kritikan dan buah fikiran rakyat seharusnya menjadi keutamaan mereka yang menjadi pemimpin di sesebuah kawasan.

Seorang wakil rakyat perlu bertanggungjawab bukan sahaja kepada parti politik yang mereka sertai, tetapi yang lebih penting adalah kepada rakyat yang mereka wakili. Tanggungjawab ini juga termasuk menyediakan saluran dan akses untuk rakyat agar mereka dapat bertemu dan berbincang permasalahan yang dihadapi oleh mereka secara terus.

Dengan wujudnya media sosial, peluang untuk berinteraksi antara pemimpin dan rakyat menjadi lebih mudah. Perkara ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh kedua-dua pihak. Rakyat boleh mengeluarkan cadangan dan kritikan, manakala pemimpin pula harus sentiasa peka dan mengambil maklum akan keluhan atau idea daripada masyarakat umum.

Kita sedar, senario politik di Malaysia pada ketika ini telah mendatangkan sedikit kerisauan kepada rakyat Malaysia. Namun begitu, walauapapun isu politik yang sering tular seharusnya tidak mengubah atau menggugat hubungan rakyat dan pemimpin yang seharusnya bersifat bagai aur dengan tebing, yang mana kedua-duanya saling memerlukan.

Politik dan pentadbiran tidak akan dapat dipisahkan, kerana dari politiklah suara rakyat atau akar umbi dinyatakan. Namun begitu, bagi setiap pemimpin yang mewakili sesuatu kawasan, tidak kira apa jua isu yang mendatang, aspirasi rakyat adalah perkara yang paling penting untuk diuatamakan, demi kelangsungan sebuah negara demokrasi yang merdeka.

Dato’ Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail

YAB Menteri Besar Pahang

Leave a comment