PR1MA PAHANG BANTU GOLONGAN SEDERHANA MILIKI RUMAH

PR1MA PAHANG BANTU GOLONGAN SEDERHANA MILIKI RUMAH

Kerajaan Negeri sentiasa menekankan pemilikan rumah mampu milik bukan hanya tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah sahaja, malah diperluaskan juga kepada golongan berpendapatan sederhana.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, ini termasuk Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang oleh Kerajaan Negeri dalam membantu golongan berpendapatan kurang daripada RM10,000 yang memerlukan rumah pertama.

“Setakat hari ini, Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan 186 buah Projek PR1MA Pahang di seluruh Negeri dengan bilangan rumah sebanyak 49, 375 buah.

“Selain itu, sebagai penambahbaikan kepada program PR1MA Pahang, Kerajaan Negeri telah meluluskan beberapa lagi dasar projek perumahan iaitu Rumah Makmur, Rumah Rakyat Pahang (RRP), Rumah Penjawat Awam Pahang) RPAP) dan Skim Tanah Warisan (STW) yang menjadi lambang keprihatinan terhadap keperluan rumah oleh rakyat di negeri ini secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang di Sungai Dua Jaya.

Turut hadir, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Bentong, Dato’ Hajah Aida Munira Abdul Rafar, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Puan Ismayati Ismail serta Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perumahan, Encik Azrul Bakhtiar.

Sementara itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada syarikat pemaju, Penamin Sdn Bhd yang telah berjaya menyiapkan sebanyak 28 buah unit Rumah Prima Pahang di Perumahan Makmur Sg. Dua Jaya.

Mengulas lanjut, beliau berpuas hati dengan rumah jenis teres dua tingkat bernilai RM135,000 setiap sebuah yang didirikan di atas kawasan tanah seluas 0.75 hektar.

“Walaupun kawasan agak kecil tapi bagi kawasan yang terhad, ia adalah satu rekabentuk (dua tingkat) yang agak baik. Ini adalah Rumah PR1MA dua tingkat pertama di negeri Pahang dan saya sangat berpuas hati.

“Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan jika di kawasan bandar atau kawasan yang memiliki tanah terhad boleh disyorkan untuk pembinaan Rumah PR1MA dua tingkat yang memiliki tiga bilik dan tiga bilik air,” katanya.

Menurutnya lagi, pertambahan kos ekoran pelbagai faktor turut termasuk dalam penilaian harga semasa oleh Kerajaan Negeri khususnya bahagian perumahan.

“Ia (kenaikan) masih diteliti namun setakat ini Kerajaan Negeri masih menampung semua kos dengan baik hasil keadaan kewangan negeri yang sangat baik pada masa ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Leave a comment